Artikel

Touch ‘n Go eWallet, CTOS Bekerjasama Tawar Semakan Percuma Kesejahteraan Kredit Pengguna

Status kesejahteraan kredit pengguna adalah satu elemen yang cukup penting untuk mengetahui kedudukan kewangan individu. Memahami keperluan ini Touch ‘n Go eWallet bersama CTOS kini tampil bekerjasama menawarkan akses tersebut.

Menerusi usahasama ini, pengguna TNG eWallet dan CTOS Data Systems Sdn Bhd kini boleh memiliki laporan kredit MyCTOs secara percuma dengan CCRIS pada aplikasi di samping menerima pendedahan berhubung pengetahuan kewangan.

Dengan adanya inisiatif pada dompet digital tersebut, pengguna dapat memahami aliran perbelanjaan dan akan memastikan peningkatan profil kredit individu dilaksanakan.

Untuk makluman pada laporan kredit CTOs pegguna, ia memperincikan tentang aliran hutang, transaksi akaun bagi penggunaan kad kredit, pinjaman, tempoh kelewatan pembayaran, had kredit, jumlah pinjaman, baki akaun serta segmen pertanyaan kredit.

Tidak hanya itu, pengesanan kebankrapan dan kes undang-undang juga akan disenaraikan di bahagian berasingan pada laporan kredit tersebut untuk perhatian para pengguna. Pemaparan data sedemikian adalah sebahagian daripada proses penilaian kredit sebelum meluluskan sebarang permohonan pinjaman mahupun kad kredit untuk masa hadapan.

Setiap perolehan skor kredit akan menjadi petunjuk kepada kelayakan individu sebagai jaminan berupaya memenuhi dan mengurus kewangan mereka kelak.

Buat pengetahuan umum, promosi laporan MyCTOS secara percuma dengan CCRIS ini akan ditawarkan sehingga 31 Januari 2022. Bagi maklumat lanjut layari pautan TNG dan CTOS Malaysia.