Artikel

Standard Chartered Tampil Selaku Pilihan Utama Untuk Terajui Aset Perbankan Runcit Citi Malaysia

Pertengahan April 2021, Citigroup telah menyatakan hasrat mereka untuk keluar daripada perkhidmatan perbankan runcit di 12 buah negara. Ini termasuklah Malaysia.

Aturan strategik itu diambil untuk memberi tumpuan kepada perkhidmatan perbankan korporat dan pelaburan. Maka langkah itu secara langsung akan memperlihatkan peralihan aset perbankan pengguna kepada para pembida.

Kini untuk pasaran Malaysia, Standard Chartered telah menjadi pendahulu untuk peralihan tersebut. Berdasarkan laporan peralihan perolehan aset ini melibatkan nilai mencecah ratusan juta dolar.

Buat pengetahuan umum, perolehan Standard Chartered ini secara langsung akan mengukuhkan lagi kedudukan institusi kewangannya di negara. Ini kerana Citi Malaysia amenjadi antara peneraju dalam pasaran kad kredit tempatan, setelah Maybank dan CIMB. Ia secara terus meningkatkan persaingan arena.

Sementara itu, peralihan aset perbankan pengguna Citigroup di beberapa negara Asia lain pula turut dinyatakan entiti yang terlibat;

  • Thailand – Bank of Ayudhya
  • Indonesia – UOB Singapore
  • Filipina – Fubon Financial Holding

Setakat ini, Citi Malaysia memiliki 10 cawangan di negara dan peralihan aset perbankan runcit ini tidak hanya merangkumi segmen kad kredit sahaja bahkan bahagian pengurusan kekayaan serta gadai turut berkaitan.