Artikel

Kerajaan Jepun Rancang Sekat Kredit Cukai – Ke Atas Syarikat Yang Gagal Naikkan Gaji Pekerja

Pentadbiran Jepun kini bersepakat untuk menyekat pelaburan kredit cukai kepada syarikat berskala besar – sekiranya mereka menolak untuk menaikkan gaji para pekerja.

Ternyata situasi ini jauh berbeza dengan arena pekerjaan di Malaysia.

Berdasarkan laporan Nikkei Asia, syarikat Jepun perlu menaikkan paras gaji sekurang-kurangnya 0.5% berbanding paras gaji tahun sebelumnya ke atas pekerja mereka. Jika gagal berbuat demikian, syarikat berkaitan tidak akan menerima sebarang kredit cukai yang membenarkan mereka untuk melakukan potongan sebahagian daripada amaun pelaburan seperti segmen perbelanjaan bil cukai R&D mereka.

Sementara itu, bagi syarikat yang menaikkan gaji pekerja pula – kerajaan Jepun bercadang menawarkan insentif cukai terhadap kumpulan ini. Di mana ia meliputi tahap komitmen majikan terhadap kenaikan gaji dan latihan yang diberikan kepada pekerja.

Kenyataan itu secara langsung telah memberi tekanan kepada perusahaan yang masih enggan melakukan kenaikan gaji.

Untuk makluman, tindakan ini akan dilaksanakan di bawah rancangan pembaharuan cukai pentadbiran Jepun bagi kewangan 2022 kelak. Perubahan ini bermakna kredit tidak akan diberikan melainkan syarikat menaikkan gaji sekurang-kurangnya 0.5% pada fiskal 2022. Kenaikan gaji minimum itu juga dijangka akan dinaikkan kepada 1%, bermula pada fiskal 2023.

Tidak hanya itu, bagi merancakkan lagi aliran kenaikan gaji yang berterusan, kerajaan akan menetapkan kadar potongan cukai yang sangat tinggi. Syarikat besar yang melakukan kenaikan gaji 3% akan memiliki potongan sehingga 30% daripada kenaikan gaji daripada cukai korporat mereka, manakala PKS yang menaikkan gaji sekurangnya 1.5% pula akan layak mendapat potongan sehingga 40%.

Buat pengetahuan umum, gagasan ini tidak hanya tertakluk kepada pekerja senior, tetapi merangkumi pekerja baharu.