Artikel

Indonesia Mohon Malaysia Tingkatkan Gaji Minimum Pekerja Asing – Kepada RM1,500

Isu gaji minimum tidak hanya membelenggu pekerja tempatan sahaja, tetapi ia juga turut menimbulkan kegusaran kepada pekerja asing.

Maka bagi memastikan pendapatan pekerja asing terus terjamin, Indonesia kini mula mengemukakan permohonan kenaikan gaji minimum pekerja asing kepada Malaysia dengan jumlah RM1,500.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan memaklumkan permohonan itu telah dikemukakan oleh wakil Indonesia pada pertemuan di Jakarta minggu ini.

Berdasarkan laporan Astro Awani, Malaysia ketika ini mencadangkan gaji minimum pekerja asing ditetapkan pada paras RM1,200 ketika fasa perbincangan. Tindakan itu susulan penguatkuasaan paras gaji minimum negara adalah RM1,200.

Namun paras itu tidak ditetapkan sebarang had. Ini bermakna – mana-mana syarikat swasta yang ingin menawarkan kadar gaji yang lebih tinggi kepada pekerja asing, boleh berbuat demikian.