Meskipun kadar pengangguran bagi Oktober 2021 memaparkan penurunan dengan catatan 4.3% bersamaan 705,000 penganggur dan menjadi kadar terendah sejak data April 2020 – namun data DOSM ini tidak menidakkan peningkatan pengangguran yang berlaku dalam kalangan belia.
Kadar pengangguran belia bagi usia 15 tahun hingga 24 tahun untuk rekod Oktober 2021 memperlihatkan pengekalan pada paras 13.9%, sementara dari aspek bilangan penganggur belia menunjukkan pertambahan seramai 23,700 (meningkat 6.6%) kepada 358,800. Ini lebih tinggi berbanding data September sejumlah 335,100 penganggur belia.
Akan tetapi kadar pengangguran bagi belia yang berumur 15 hingga 30 tahun mencatatkan penurunan sebanyak 0.4% bulan ke bulan kepada 8.1% berbanding September 2021 sekitar 8.5%.
Manakala bagi pecahan tempoh pengangguran pula – sekitar 7.8% telah mengalami pengangguran lebih dari setahun dan 12.5% pula mengalami tempoh pengangguran lebih 6 bulan. Untuk pecahan tempoh pengangguran kurang dari 6 bulan adalah 24.1% dan tempoh pengangguran kurang dari 3 bulan ialah 55.5%.
Bagi segmen kategori pengangguran pula – untuk Oktober penganggur tidak aktif telah memaparkan sedikit peningkatan dengan kadar 16.4% berbanding penganggur aktif pula paras 83.6%.