Dalam tempoh 2 tahun negara mengalami sekatan pandemik COVID-19, sudah pasti pelbagai perkara dapat dipelajari oleh semua pihak. Ini tidak hanya mengambil kira tentang kepentingan kesihatan, kewangan, kerjaya tetapi turut melibatkan pendedahan terhadap kemahiran baharu.
Tinjauan Gardenia Bakeries dapati dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebahagian besar respondennya mula meningkatkan kemahiran mereka dalam segmen tertentu, antaranya adalah Masakan dan Membuat kek (35.5%), kemahiran kebersihan (23.7%), dan Pengurusan Masa (16.1%).
Selain itu, kemahiran perniagaan juga turut melonjak kepada 7.2% – ini didorong atas faktor pasaran pekerjaan yang semakin terhad, menjadikan kemahiran dalam perniagaan harus dipelajari untuk menampung risiko semasa.
Namun apa yang mencuri tumpuan, meskipun memiliki tempoh yang lama di bawah PKP – sekitar 17.5% rakyat Malaysia akui tidak produktif. Rata-rata responden yang terlibat memaklumkan kesibukan pekerjaan serta kekangan masa disebabkan pengajian telah mengehadkan masa mereka untuk pelajari kemahiran baharu.
Pada tinjauan yang sama, 69.1% turut bersetuju penerapan PKP telah memberi kesan terhadap kesihatan mental mereka. Di mana ia membawa kepada pecahan Kelesuan Mental (28.2%), Mudah Gelisah (23.2%) dan Kemurungan (18.4%).
Menerusi pengamatan itu, bagi rakyat Malaysia yang masih terkesan akan situasi itu dinasihatkan untuk mendapatkan sokongan emosi melalui saluran Befrienders (03-7956 8145) atau Talian Kasih (019-2615 999) dan Persatuan Kesedaran Sokongan Penyakit Mental (MIASA) di talian 1-800-820066.