Artikel

Pekerja Malaysia Di Semua Sektor – Kini Miliki Potensi Alami Kenaikan Gaji Sehingga 5%

Pasaran pekerjaan dijangka akan lebih agresif mulai tahun 2022 – susulan aliran ekonomi yang semakin baik dan kehadiran pelaburan yang semakin tinggi.

Ini secara terus akan meningkatkan potensi kenaikan gaji pekerja dalam semua sektor di Malaysia.

Menurut tinjauan Gaji Robert Walters 2022 – para pekerja boleh menjangkakan kenaikan sehingga 5% daripada syarikat mereka pada tahun baharu kelak. Lebih menarik bagi pekerja yang menukar pekerjaan kini turut boleh menjangkakan kenaikan bermula 15% sehingga 30%.

Namun perolehan peningkatan gaji haruslah setimpal dengan kriteria kemahiran yang diperlukan dalam sesebuah sektor dan pasaran.

Ini berbeza dengan tinjauan ECA International pada Laporan Trend Gaji Asia Tenggara sebelum ini yang menyasarkan pekerja di Malaysia akan menerima kenaikan gaji sebenar sekitar 2.8% pada tahun hadapan.

Walaupun terdapat pemerhatian kenaikan gaji untuk pekerja negara, semua pihak perlu sedari peningkatan paras gaji masih bergantung kepada situasi semasa negara dalam mengawal tekanan inflasi dan prospek ekonomi.