Artikel

Jualan Runcit Malaysia 2022 – Dijangka Capai Kadar Pertumbuhan 6%

Kenaikan kos sara hidup sejak kebelakangan ini, secara langsung telah mengugat kuasa beli pengguna pada pasaran negara. Antaranya jualan runcit di Malaysia.

Walaupun faktor utama penurunan jualan runcit negara adalah disebabkan sekatan pandemik yang telah mengehadkan operasi perniagaan sebelum ini, akan tetapi ketirisan rantaian bekalan telah membawa kepada kenaikan kos. Sekaligus ia meningkatkan lagi risiko pemulihan jualan runcit.

Berdasar tinjauan Industri Runcit Malaysia bagi November 2021, kadar pertumbuhan jualan runcit untuk suku ketiga adalah -15.1%. Di mana penguncupan telah mencatatkan 27.8%.

Antara subsektor yang memaparkan penurunan jualan adalah kedai serbaneka, pasaraya, fesyen, farmasi, elektronik dan beberapa premis lain.

Namun untuk suku keempat 2021, dijangka beberapa subsektor akan memaparkan pemulihan sederhana. Maka pertumbuhan purata sekitar 18.3% disasar dapat dicapai pada akhir tahun ini.

Berdasarkan data Kumpulan Peruncit Malaysia (RGM) aliran pemulihan akan diraih semula pada jualan runcit berikutan terdapat dua perayaan utama yang bakal tiba mulai Disember ini iaitu sambutan Krismas dan Tahun Baru Cina.

Sementara kadar pertumbuhan bagi tahun 2022 pula dijangka cecah 6%. Masih di paras sederhana susulan perubahan kos sara hidup semasa yang akan berterusan sehingga tahun hadapan.