Artikel

Microsoft Rancang Tingkatkan Pelaburan – Terhadap Startup Yang Diterajui Wanita Di Asia

Microsoft – syarikat gergasi teknologi kini mula menyasarkan perluasan pelaburan pada syarikat startup yang diterajui wanita pada pasaran Asia.

Perkara ini telah mula diberi gambaran awal sejak pelaporan pertengahan November lalu. Di mana menurut Presiden Microsoft Asia, Ahmed Mazhari perubahan era ke arah digitalisasi seharusnya memanfaatkan kepakaran dan kemahiran wanita dalam industri teknologi.

Tidak seperti era terdahulu, wanita sering mengalami peluang yang tipis dan tidak didedahkan akan penerokaan baharu pada sesebuah sektor. Maka, pasaran ketika ini adalah peluang yang baik untuk wanita diberi sokongan dalam sektor ekonomi.

Bagi meningkatkan peluang tersebut, Microsoft telah melaksanakan kerjasama dengan She Loves Tech – iaitu organisasi startup wanita yang berpangkalan di Singapura. Menerusi kerjasama ini membuka ruang dan peluang penerokaan pelaburan kepada startup yang dikendalikan wanita. Platform ini memberi fokus kepada perluasan pasaran startup di Asia.

Untuk makluman, berdasarkan data DealStreetAsia syarikat startup yang dibangunkan oleh wanita hanya berupaya menarik 0.9% pelaburan sahaja. Situasi ini amat tidak stabil dan perlu mengalami perubahan.

Menerusi perluasan pelaburan pada syarikat startup di rantau ini Microsoft menekankan akan menamatkan faktor halangan kepada wanita untuk terus turut serta dalam arena teknologi ini.