Selari dengan krisis kesihatan dunia yang sedang berlaku ketika ini, ternyata kaedah pembayaran secara nirtunai (tanpa tunai) menjadi pilihan utama segelintir individu.
Berdasarkan tinjauan Visa Voice of the Consumer – ternyata 44% pelancong di serata Asia Pasifik kini telah menyatakan hasrat untuk membawa lebih banyak kad dan menggunakan telefon pintar sebagai alternatif kepada kaedah pembayaran mereka.
Perkara itu secara langsung membantu pelancong mengurangkan sentuhan fizikal dan mengelakkan diri mereka dari mengunjungi premis atau berinteraksi dengan pihak pertukaran wang. Langkah tersebut bertepatan dengan situasi semasa yang memerlukan pematuhan SOP yang tegas dalam kalangan pelancong.
Selain pemerhatian itu, bagi tinjauan dalam negara pula sekitar 56% rakyat Malaysia memaklumkan – hanya akan melakukan pelancongan sekiranya kes global COVID-19 memaparkan penurunan. Sementara 66% lain mempertimbangkan perolehan vaksin dan kestabilan situasi pandemik di destinasi pelancongan.
Tinjauan lain yang turut dapat diperlihat;
- 65% rakyat Malaysia tidak sabar melakukan perjalanan pelancongan
- 16% rakyat Malaysia ingin melancong secepat mungkin
- 54% rakyat Malaysia bersetuju laksana pelancongan di bawah gelembung perjalanan
- 40% rakyat Malaysia sedang merancang untuk melancong pada pertengahan 2022 kelak
- 42% pelancong Asia Pasifik akui akan elak dari berhimpun di tempat yang sesak
- 53% pelancong Asia Pasifik lebih selesa meluangkan masa di dalam kawasan penginapan yang selamat, berkualiti dan terjamin
- Antara destinasi pilihan pelancong Malaysia ialah China, Australia, Jepun, Thailand dan Singapura
Untuk makluman, 14 negara telah terlibat dalam tinjauan ini seperti China, Taiwan, Hong Kong, Jepun, Korea, Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, Vietnam, India, Australia, dan New Zealand. Jumlah saiz sampel ialah 2,200.