Artikel

ASNB Umum Pengagihan Pendapatan 2.74 Sen Seunit – Bagi ASN Imbang 1

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan bagi dana harga berubah, ASN Imbang (Aset Campuran) 1 (dahulunya dikenali sebagai Amanah Saham Nasional 3 Imbang), bagi tahun kewangan berakhir 30 November 2021.

Dana tersebut mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak 2.74 sen seunit, dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM27.46 juta.

Ini adalah hasil dividen sebanyak 2.85% berdasarkan nilai aset bersih (NAB). Jumlah ini dimaklumkan akan memberi manfaat kepada 44,752 pemegang unit yang memegang 1.00 bilion unit. Setakat 26 Oktober 2021, ASN Imbang 1 mencatatkan pendapatan bersih ternyata sebanyak RM31.20 juta.

Meskipun ekonomi global yang mencabar dijangka berterusan, PNB kekal komited dalam melaksanakan objektif pelaburan untuk menjana pulangan yang berpatutan menerusi portfolio pelaburan seimbang dan kepelbagaian pelaburan.

Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun mereka pada 1 Disember 2021.

Buat pengetahuan umum, semua urus niaga ASN Imbang 1 telah ditangguhkan buat sementara waktu mulai 26 November hingga 30 November 2021 untuk pengiraan pengagihan pendapatan. Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka melalui portal ASNB, www.myasnb.com.my atau aplikasi myASNB, atau di mana-mana cawangan dan ejen ASNB seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 Disember 2021.