Artikel

Platform E-Dagang Manakah Yang Menguasai Pasaran – Malaysia, Thailand Dan Vietnam?

Perkembangan platform e-dagang tidak hanya memberi impak kepada Malaysia sahaja, tetapi ia turut meliputi beberapa negara Asia Tenggara yang lain. Antaranya seperti Thailand dan Vietnam.

Melalui laporan ekonomi SEA Google pada tahun ini, 2021 – jelas menunjukkan dorongan perluasan itu disokong atas faktor lonjakan pengguna internet dalam digitalisasi. Berdasarkan laporan 8 daripada 10 pengguna Asia adalah pengguna digital. Ia membawa kepada kenyataan sekitar 90% pengguna Thailand, 81% pengguna Malaysia dan 71% pengguna Vietnam – kini memiliki pengalaman dalam pembelian secara atas talian iaitu e-dagang.

Maka menerusi perkembangan platform e-dagang, sudah pasti terdapat persoalan platform manakah yang menjadi pilihan utama pada ketiga-tiga buah negara ini?

Adakah Shopee Dan Lazada?

Tinjauan iPrice berdasarkan aliran trafik purata pada suku ketiga 2021 – iaitu data setakat Julai sehingga September 2021 ini jelas memperlihatkan dinamik yang menarik antara platform e-dagang tiga buah negara ini.

Jawapannya ya. Ternyata pada carta pertama dan kedua terus diungguli oleh kedua syarikat yang berpangkalan di Singapura iaitu Shopee dan Lazada. Untuk Malaysia, suku ketiga aliran trafik Shopee terus menunjukkan peningkatan dengan catatan 71%, diikuti Lazada (18%) dan PG Mall 9%.

Sementara Thailand pula memaparkan Shopee di paras 57%, diikuti Lazada (35%) dan Central Online 2%. Manakala pengguna Vietnam juga turut memperlihatkan purata trafik yang tinggi buat Shopee 57%, diikuti Lazada (16%) dan Tiki (13%).

Bagi pasaran Malaysia, peningkatan aliran Shopee dilihat telah disokong hasil penawaran baucar makanan dan penghantaran secara percuma. Sementara bagi Lazada pula ia terus menjadi pilihan susulan pilihan dwi bahasa yang menyediakan bahasa Cina untuk kemudahan pengguna secara meluas.

Platform E-Dagang Tempatan Turut Miliki Potensi, Beri Saingan Pada Kedudukan Ketiga

Meskipun Shopee dan Lazada terus menempah tempat teratas, ini tidak bermakna platform e-dagang tempatan tidak memiliki potensi untuk menyaingi kedudukan mereka.

Sekiranya pembaca lihat pada carta, kesemua kedudukan ketiga adalah platform e-dagang tempatan bagi Malaysia (PGMall), Thailand (Central Online) dan Vietnam (Tiki). Ketiga-tiga platform ini diliht semakin meningkat dalam mengatur strategi untuk mengembangkan permintaan pengguna.

Antara strateginya, PGMall telah mengatur kerjasama dengan JD Worldwide, iaitu menggalakkan penjual tempatan menawarkan produk yang unik kepada pasaran China. Melalui akses ini pada pasaran China, platform PGMall telah menjadi salah satu perniagaan dalam talian domestik yang paling menonjol di Malaysia.

Seterusnya Tiki, yang memegang 13% bahagian pasaran e-dagang Vietnam. Pihaknya telah melaksanakan persefahaman eksklusif bersama syarikat insurans AIA Vietnam selama 10 tahun. Disebabkan ini, pemegang polisi boleh menguruskan akaun insurans mereka dan mendapatkan penyelesaian serta tuntutan insurans kesihatan melalui laman web Tiki. Ini mendorong kepada pilihan pengguna terhadap platform Tiki.

Central Online di Thailand pula dilihat mula menjadi pilihan pengguna setelah mempelbagaikan tawaran produk pada platform digital. Usaha itu telah membawa kepada aliran trafik sehingga 2.6 juta pengguna di Thailand. Ini menjadikan ia antara platform Thailand yang berpotensi beri saingan kepada pasaran.

Selain E-Dagang – Media Sosial Turut Menjadi Medan Pembelian Secara Atas Talian Pengguna

Walaupun terdapat pautan platform e-dagang pada layar internet dan aplikasi, media sosial turut menjadi medan pilihan pengguna dalam melakukan pembelian atas talian. Ia dilihat lebih mudah dan lebih dekat dengan pengguna.

Dapatan iPrice melihat – melalui Facebook sahaja, sekitar 44% pengguna Malaysia telah terlibat pada data tersebut. Manakala pengguna Vietnam menyumbang 36% dan Thailand pula 20%.

Meskipun ini dilihat sebagai saingan, namun menjadikan media sosial sebagai alat kepada platform e-dagang mampu meningkatkan lagi kreadibiliti jenama.

Untuk pasaran Malaysia sahaja, 87.2% daripada keseluruhan penduduk Malaysia kini adalah pengguna Facebook (sehingga Oktober 2021). Ini menunjukkan Facebook memainkan peranan penting dalam memacu pasaran e-dagang Malaysia. Pengamatan ini secara langsung bertepatan dengan sasaran negara untuk melonjak 18.3% menjelang 2025 kelak.

Data setakat ini menunjukkan prestasi e-dagang Malaysia terus menunjukkan corak yang positif pada aliran pertumbuhan negara, telah meningkat 26.5% kepada RM163.3 bilion bagi nilai ditambah kasar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020.