Artikel

78% Pencarum Bumiputera Kini Paling Terjejas – Susulan Pengeluaran Dana Simpanan KWSP

Meskipun pengeluaran simpanan di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memberi kelegaan kepada segelintir pihak – namun ia secara langsung telah memberi bebanan pada kos persaraan kelak.

Kementerian Kewangan (MoF) kini memaklumkan, bagi mana-mana pihak yang terlibat pada pengeluaran – perlu melakukan kerja tambahan sekurang-kurangnya 4 hingga 6 tahun untuk menampung semula pengurangan dana dalam persaraan mereka.

Buat pengetahuan pembaca, pengeluaran KWSP ketika pandemik mengurangkan peratusan simpanan mereka yang sudah mencapai simpanan persaraan minimum iaitu RM240,000 daripada 36% pada 2020 kepada 27% tahun ini.

Secara keseluruhannya 73% pencarum ketika ini berada di tahap yang kritikal. Ini kerana simpanan mereka tidak mencukupi untuk persaraan dan berada di tahap kemiskinan.

Tidak hanya itu, melalui pengamatan MOF kumpulan pencarum Bumiputera adalah pihak yang paling terjejas teruk ketika ini. Ia kerana 78% daripada kumpulan pencarum ini telah melakukan permohonan pengeluaran simpanan KWSP.

Pengeluaran tersebut meliputi skim pengeluaran i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Kini bagi membantu pencarum menampung semula – caruman baharu KWSP akan dikreditkan kepada Akaun 1 sepenuhnya seheingga keseluruhan jumlah pengeluaran dapat dipenuhi semula. Melalui langkah ini, ia baik buat pencarum untuk mengatur semula kewangan mereka.