Artikel

Asas Cukai Malaysia Perlu Diperluaskan, Sasar Kutipan 2022 Jana RM139.3 Bilion – LHDN

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), melihat jangkaan kutipan hasil cukai pada paras RM139.3 bilion adalah amaun yang bertepatan.

Perolehan itu dilihat akan terus disokong oleh kutipan kasar cukai langsung yang terdiri daripada cukai korporat, petroleum, individu dan beberapa pungutan cukai lain.

Jangkaan tersebut juga diperhatikan seiring dengan sasaran pertumbuhan KDNK negara yang diumumkan dalam kitaran 5.9% pada 2022.

Bagaimanapun, mengulas lanjut perihal struktur cukai negara – Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Nizom Sairi berpendapat struktur cukai Malaysia masih bergantung kepada cukai langsung berbanding cukai tidak-langsung.

Ini bermakna asas cukai wajar diperluaskan dengan melibatkan pelbagai kelas masyarakat. Namun pihaknya perlu mencari titik keseimbangan untuk berbuat demikian supaya pengenaan cukai ke atas pendapatan berbeza tidak akan menimbulkan sebarang isu.

Selain perluasan asas cukai, kaedah kutipan hasil juga perlu diselenggara untuk lebih cekap bagi mengelakkan sebarang ketirisan kutipan hasil buat negara.