Artikel

IMF Gesa El Salvador – Agar Tidak Menggunakan Bitcoin Selaku Mata Wang Rasmi Negara

Sehari selepas El Salvador mengumumkan untuk memperuntukan AS$500 juta pada pembangunan Bitcoin City, tindakan tersebut mula mendapat perhatian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Perancangan Presiden Nayib Bukele itu untuk membentuk bandar tersebut dilihat sesuatu yang merisikokan susulan kedudukan kriptowang bitcoin diperhatikan tidak seimbang.

Untuk makluman pembaca selain mata wang AS dolar, El Salvador menjadi negara pertama di dunia yang mula menerapkan penggunaan kriptowang Bitcoin selaku mata wang rasmi sejak September lalu dan kini pihaknya menyasarkan untuk tampil selaku peneraju pusat perlombongan aset digital tersebut.

Perancangan pembentukan Bitcoin City ini dilaporkan akan memperlihatkan pengeluaran bon bernilai berseluruhan AS$1 bilion, di mana sebahagian peruntukan lagi iaitu AS$500 juta akan diperuntukan pada perolehan bitcoin.

IMF ketika ini menyelar tindakan El Salvador dan menggesa negara tersebut meneliti kembali hasrat tersebut. Ini kerana risiko status kriptowang ini tidak sekadar mendorong kenaikan liabiliti, bahkan mengugat perlindungan pengguna, integriti kewangan serta kestabilan nilai mata wang itu sendiri.