Pengenaan kompaun individu mahupun denda di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kini telah memaparkan peningkatan kutipan 37% bagi data sehingga 20 November lalu.
Kenyataan ini secara langsung, menunjukkan rakyat Malaysia mulai leka dan lalai.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) angka peningkatan telah mula meningkat pada minggu epidemiologi ke 46 dengan catatan 344 kompaun dikenakan ke atas individu.
Antara kesalahan tertinggi yang diperlihatkan adalah kegagalan orang awam untuk menggunakan imbasan aplikasi MySejahtera atau mencatatkan nama dan nombor telefon mereka, ketika memasuki mana-mana premis.
Selain itu, masih terdapat juga individu yang gagal memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal serta menyemak suhu sebelum memasuki premis perniagaan.
Tindakan tidak bertanggungjawab ini telah menjadi antara pendorong kenaikan risiko COVID-19 di negara. Ternyata selepas 5 minggu kebenaran rentas negeri diumumkan, peningkatan semula kes aktif COVID-19 kini mula diperlihatkan.
Setakat 22 November, sekitar 4,885 kes baharu telah dicatatkan negara.