Aplikasi Swifty bukan lagi suatu medium yang asing dalam kalangan peniaga tempatan dan pekerja bebas – khususnya merangkumi arena ekonomi gig di Malaysia.
Seperti yang orang awam sedari, kehadiran pandemik telah mewujudkan ketirisan kepada pendapatan dan penyusutan simpanan semua masyarakat negara. Apatah lagi kumpulan individu yang di bawah kategori B40. Ingin menggalas tanggungjawab itu, berbekalkan tempoh selama 4 bulan untuk memahami pembangunan aplikasi – kini Pengasas Alfina Nur Bashir dan Emad Nurdin Morshidi mula menampilkan aplikasi Swifty dan Swifty Pro kepada semua pihak.
Apa Beza Swifty Pro dan Swifty?
Pasti ada yang terkeliru akan perbezaan kedua aplikasi ini, untuk penjelasan Swifty Pro adalah medium untuk orang awam untuk memasarkan karya mereka dan meneroka peluang baharu dalam menjana pendapatan tambahan. Untuk makluman, pada temubual bersama Rnggt, meskipun ia baru dilancarkan dalam tempoh awal Ogos 2021 dan September 2021 – platform tersebut kini memiliki 800 penyediaan perkhidmatan yang merangkumi pelbagai ketegori.
Iaitu segmen perkhidmatan melibatkan kreatif, pembekalan awam, pembersihan, peruncitan, pendidikan, peliharaan dan pelbagai lagi. Lebih menarik berdasarkan data terbaharu, sekitar 8000 jumlah muat-turun dalam kalangan pengguna iOS dan Android di seluruh Lembah Klang dicatatkan.
Melalui aplikasi ini, peserta penawaran perkhidmatan dapat melihat aliran permintaan pada paparan utama aplikasi. Ia memiliki ciri perolehan pendapatan mengikut bulanan, mingguan, serta data permintaan yang dimiliki pada rekod aplikasi.
Sementara aplikasi Swifty pula memberi kemudahan kepada para pengguna atau pelanggan untuk memiliki akses penawaran khidmat tersebut secara langsung. Para pengguna boleh memuat turun aplikasi Swifty untuk mencari perkhidmatan yang diinginkan. Pada penyertaan pengguna baharu – mereka akan memiliki penawaran 20% potongan untuk 3 permintaan perkhidmatan pertama. Pihak Swifty melihat penerapan medium ini sebagai alternatif untuk menjadi penghubung kepada pengguna dan pengendali secara terus, tanpa memerlukan sebarang penglibatan pihak lain.
Usah Risau, Ciri Keselamatan Adalah Keutamaan Swifty
Sudah pasti, apabila bercerita tentang aplikasi – faktor keselamatan akan menjadi keutamaan semua pengguna dan pengendali perkhidmatan. Ini kerana peningkatan jenayah siber khusus scammer terus melonjak di Malaysia. Memahami kebimbangan itu, Swifty telah melampirkan beberapa proses keselamatan untuk menapis dan memastikan jaminan kesejahteraan semua pihak terlibat dalam medium ini.
- Hanya membenarkan warganegara Malaysia sahaja terlibat dalam medium ini
- Perkongsian kad pengenalan adalah wajib – sekiranya gagal memenuhi syarat itu, pengguna dan pengendali tidak akan dibenarkan turut serta
- Perincian maklumat peribadi
- Bagi perniagaan – perlu melampirkan sijil SSM, serta sijil pengiktirafan sokongan bagi kategori pekerjaan profesional (seperti kaunselor)
Manakala berhubung pemantauan prestasi penawaran perkhidmatan pula – Swifty memaklumkan pembayaran hanya akan dilaksanakan setelah pelanggan menerima keseluruhan perkhidmatan dan berpuas hati akan perkhidmatan tersebut. Malah sekiranya pelanggan masih tidak berpuas hati, mereka dibolehkan meminta bayaran semula pada aplikasi untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan bagi kedua-dua pihak .
Ini bermakna, jaminan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan Swifty sentiasa di pantau dari semasa ke semasa. Dan setakat ini, pihaknya tidak memiliki sebarang maklum-balas yang negatif berhubung tindakan itu.
Rancang Perluas Penawaran Aplikasi Di Seluruh Semenanjung – Menjelang Akhir 2021
Melihat permintaan yang rancak dalam kalangan pengguna di Lembah Klang. Pihak Swifty bercadang memperluaskan platform pasaran pekerjaan dan pekhidmatan ini di seluruh Semenanjung Malaysia pada akhir 2021 ini. Bagaimanapun setakat perbincangan awal – Swifty menjelaskan terdapat 5 negeri utama yang akan diberi tumpuan.
Antaranya kemasukan medium ke negeri Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, makluman itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa untuk memastikan perancangan perluasan platform aplikasi dapat dicapai di seluruh Semenanjung negara.
Turut Sasar Tingkatkan Pelaburan & Sertakan Ciri BNPL Pada Aplikasi
Setiap penyedia platform memiliki sasaran tertentu dalam mengembangkan empayar mereka. Begitu juga Swifty yang kini mula mengorak langkah meningkatkan dana pelaburan pada operasi. Antara kejayaan yang dimiliki memenangi USC – University Startup Challenge yang dianjurkan oleh MaGIC iaitu Malaysian Global Innovation and Creativity CentreĀ dengan perolehan modal RM10,000.
Tidak hanya mengfokuskan peningkatan modal perniagaan, Swifty juga mula memperluaskan ciri aplikasi melalui keupayaan BNPL atau Beli Sekarang Bayar Kemudian. Di mana pada masa ini jelas ciri tersebut memberi kelebihan kepada semua pihak untuk memiliki akses perbelanjaan secara ansuran. Maka Swifty berpendapat penyertaan ciri pada aplikasi ini akan meningkatkan lagi keupayaan pengguna dan pengendali terlibat untuk memperkasakan permintaan semua pihak.
Berdasarkan perbincangan awal – Swifty kini telah berurusan bersama Atome penyedia BNPL bagi penawaran tersebut. Namun begitu, penyasaran ciri ini masih diteliti dan disemak.