Artikel

Malaysia Tidak Alami Stagflasi, Walaupun Ekonomi Menyusut 4.5% – BNM

Pertumbuhan ekonomi Malaysia kini menyusut 4.5% pada suku ketiga susulan kesan COVID-19. Penyusutan  tersebut nyata lebih rendah berbanding ramalan purata yang digariskan oleh pemerhati ekonomi – iaitu di paras 1.3%.

Meskipun begitu, Bank Negara Malaysia (BNM) kekal optimis akan petunjuk pemulihan negara di mana pertumbuhan dijangka akan meningkat pada suku keempat dan tahun 2022. Di mana Gabenor BNM Nor Shamsiah, menyatakan prospek pertumbuhan negara kekal tertakluk kepada faktor risiko Covid-19 di peringkat global dan domestik.

Begitu juga kestabilan dalam pasaran kewangan global dan gangguan rantaian bekalan pula dijangka akan berkurangan secara beransur.

BNM pada pendiriannya menyatakan dasar monetari negara akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu, dan pihaknya akan kekal berhati-hati terhadap penarikan balik sokongan dasar.

Turut ditekankan Malaysia tidak menghadapi sebarang stagflasi dan tekanan harga akan kekal sederhana pada 2022. Di mana inflasi keseluruhan telah mula perlahan kepada 2.2% pada suku ketiga, daripada 4.1% pada suku kedua.

Stagflasi – Situasi ekonomi yang tidak mengalami pertumbuhan dan disertai dengan kadar inflasi yang tinggi

Malaysia selanjutnya turut menjangkakan pertumbuhan akan meningkat kepada antara 5.5% dan 6.5% pada tahun 2022, apabila lebih banyak sektor dibuka semula dan dalam keadaan harga komoditi yang lebih tinggi serta permintaan luar bertambah baik.