Artikel

Carousell Terima Suntikan Pelaburan AS$10 Juta – Menerusi Anak Syarikat Temasek

Heliconia Capital iaitu anak syarikat milik penuh Temasek Holdings kini menyuntik sejumlah AS$10 juta kepada Carousell.

Berdasarkan makluman, pemfailan kawal-selia menunjukkan Heliconia membeli lebih 577,000 saham Carousell dengan harga AS$17.30 setiap satu, melalui Orchid 3 Investments VCC.

Buat pengetahuan umum, Carousell tidak sekadar membentuk platform jualan barangan baharu serta terpakai pada harga berpatutan – namun turut menawarkan jaminan 12 bulan pada pembelian telefon pintar terpakai serta melakukan pengiklanan jualan kenderaan.

Peningkatan prestasi Carousell terus memaparkan kemajuan apabila awal September lalu, pihaknya telah mengumumkan perolehan AS$100 juta, dari STIC Inverstments iaitu ekuiti swasta milik Korea Selatan.

Selanjutnya, Carousell kini diperkatakan sedang mempertimbangkan penyenaraian awam di Amerika Syarikat (AS) melalui penggabungan dengan syarikat pemerolehan tujuan khas iaitu SPAC.

Perancangan kesepakatan tersebut secara tidak langsung membolehkan nilai syarikat mampu mencecah sehingga AS$1.5 bilion kelak.