Artikel

Hak Pekerja Ekonomi Gig Malaysia Akan Diperhalusi – Melalui Pembentukan Undang-Undang Khusus

Percambahan pemain industri seperti rakan penghantar dan pemandu dalam arena ekonomi gig Malaysia nyata telah merancakkan pertumbuhan negara. Namun kemudahan yang dimiliki oleh kumpulan pekerja ini dilihat masih lagi terhad.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) akui akan realiti tersebut apabila menyatakan – setakat ini pekerja ekonomi gig sekadar memiliki perlindungan sosial di bawah PERKESO sahaja, iaitu Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Ingin meningkatkan manfaat pekerja, KSM kini sedang perhalusi dan mengikuti rapat penyelarasan manfaat ekonomi gig yang dilaksanakan di United Kingdom.

Untuk makluman, perundangan United Kingdom sebelum ini telah menyatakan pekerja ekonomi gig turut memiliki hak manfaat sama seperti pekerja kebiasaan. Maka, pentadbiran negara kini sedang meneliti dan akan menyesuaikan ia mengikut ketetapan pengawalseliaan ekonomi gig tempatan.

Berdasarkan pelaksanaan itu, KSM dijangka akan menggubal satu perundangan khusus dalam tempoh terdekat untuk mengawalselia dan merangkumkan semakan hak pekerja ekonomi gig di Malaysia kelak.