Artikel

McAfee, Firma Keselamatan Siber – Akan Dijual Pada Nilai Lebih AS$14 Bilion

McAfee, sebuah firma perisian keselamatan-siber Amerika Syarikat kini dimaklumkan akan dijual kepada sekumpulan pelabur – pada nilai lebihi AS$14 bilion.

Berdasarkan laporan, konsortium yang diketuai oleh Advent International Corporation dan Permira Advisers akan membayar kira-kira AS$12 bilion tunai untuk memperoleh semua saham tertunggak McAfee, dengan kos meningkat kepada lebih AS$14 bilion susulan penambahan hutang syarikat tersebut.

Antara kumpulan pelabur yang terlibat merangkumi Crosspoint Capital Partners, CPP Investments, dana kekayaan berdaulat Singapura GIC dan Abu Dhabi Investment Authority.

Untuk makluman, pada tahun 1992, syarikat ini telah disenarai awam diikuti pada 1999 melalui penggabungan sebelum Intel membelinya pada harga sekitar AS$7.7 bilion dan menyahsenarainya pada 2011.

Berikutan proses penyepaduan dilihat sarat, Intel pada tahun 2016 kemudiannya memisahkan McAfee daripada perniagaan terasnya, mengekalkan kepentingan yang besar tetapi menyerahkan kawalan kepada syarikat pelaburan TPG Capital.

Maka McAfee kembali ke pasaran saham sekali lagi pada Oktober 2020, mengambil kesempatan daripada suasana yang memberangsangkan untuk industri keselamatan siber.