Pasaran e-dagang Asia Tenggara kini terus memapar kemajuan dan kepesatan dalam persaingan permintaan. Data 2020 sahaja telah menunjukkan peningkatan yang ketara kepada pasaran platform ini di Asia Tenggara – dengan lonjakan 35.2% iaitu menambah 40 juta pengguna internet pada platform pasaran.
Penglibatan e-dagang di negara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand ini tidak hanya meningkatkan aliran pasaran perbelanjaan tetapi secara langsung turut memperkasakan tindakan lebih 70% penduduk rantau tersebut mula melayari internet.
Susulan dinamik pasaran e-dagang yang terus pesat ini – pelbagai pihak mula meramalkan pada tahun 2021, kenaikan sehingga 14.3% dapat di capai oleh rantau ini.
Melalui tinjauan Parcel Monitor ini, terdapat beberapa persaingan diperlihatkan Malaysia bersama negara lain dalam mengecapi permintaan pengguna e-dagang.
Malaysia Tampil Selaku Negara Asia Tenggara Yang Miliki – Tempoh Penghantaran Paling Lama
Bagi dapatan suku pertama 2021, ternyata dalam pemerhatian keempat-empat negara – Malaysia tampil selaku negara yang miliki tempoh penghantaran paling lama.
Sementara Singapura (1) pula adalah negara paling pantas dalam tempoh penghantaran, diikuti Thailand (2) dan Indonesia (3) ditempat ketiga.
Berdasarkan dapatan data untuk penghantaran domestik – Singapura memerlukan sekurang-kurangnya 1.3 hari untuk tempoh penghantaran, manakala Thailand (1.7 hari), Indonesia (2.0 hari) dan Malaysia pula (2.6 hari).
Meskipun Singapura mengalami gangguan pada 2020 dari aspek penghantaran namun ia berjaya dapat di atasi. Lebih menarik purata penghantaran 1.3 hari tersebut adalah bersamaan dengan prestasi penghantaran domestik mereka ketika 2019.
Manakala Malaysia pula – masalah tempoh penghantaran paling lama ini adalah sebab sekatan perjalanan dan pengurangan kapasiti penghantaran yang didepani bahagian logistik negara. Maka peningkatan tempoh telah berlaku, ia dilihat bermula sejak separuh kedua 2020 lagi.
Negara Asia Papar Lonjakan 20% Pertumbuhan Jumlah Bungkusan
Setakat ini, seluruh negara Asia Tenggara memaparkan lonjakn 20% pada jumlah bungkusan dalam pertumbuhan permintaan. Situasi ini didasari berpandukan musim perayaan, jualan murah dan potongan diskaun perniagaan.
Aliran tersebut diperlihatkan Parcel Monitor pada pemintaan ketika Ramadan 2021. Di mana dalam tempoh tersebut, Singapura, Malaysia dan Indonesia menyaksikan pertumbuhan 35%, 23% dan 55% pada jumlah bungkusan barangan.
Lonjakan itu turut disokong susulan sekatan pergerakan yang dikuat kuasakan negara Asia. Ini mengubah tingkah-laku pengguna untuk berbelanja secara atas talian, bagi memenuhi permintaan persiapan perayaan mereka.
Lebih 40% Pengguna Malaysia Lebih Gemar Ambil-Sendiri Di Kedai Fizikal
Berbeza dengan pengguna Singapura, bagi persoalan alternatif penghantaran dalam tinjauan Rakuten bagi Jun hingga Julai 2021 – pembeli di Malaysia lebih gemar mengambil sendiri barangan pembelian di kedai fizikal yang berkaitan. Data menunjukkan lebih 40% pengguna Malaysia gemar berbuat demikian.
Tindakan itu disusuli faktor untuk mengelakkan dari sentuhan fizikal dan lebih mudah.
Berbanding pengguna Singapura, mereka memilih untuk mengambil barangan di titik pengumpulan barang selaku tempat yang selesa. Manakala Indonesia juga memilih mengambil barangan di kedai fizikal dan hampir 50% pengguna Thailand pula gemar menggunakan lokar parcel sebagai tempat pengambilan barangan.
Melihat pada peratusan itu, rata-rata pengguna Asia Tenggara memilih alternatif penghantaran sedemikian adalah kerana;
- Lebih mudah (63%)
- Tanpa sentuhan fizikal dan lebih selamat (54%)
- Caj penghantatan menjadi lebih rendah (39%)
Jadi apa seterusnya dalam persaingan platform e-dagang ini?
Walaupun negara Asia Tenggara memperlihatkan momentum yang baik dalam kepesatan, namun risiko penularan COVID-19 dilihat terus menghantui pergerakan pertumbuhan. Berdasarkan ketidaktentuan krisis ketika ini, pelbagai situasi berpotensi memberi kesan pada platform e-dagang di rantau Asia Tenggara.