Artikel

Mufti WP Memberi Pencerahan Berkenaan Hukum Penggunaan Shopee Pay Later

BNPL atau Buy Now Pay Later (Beli Sekarang Bayar Kemudian) kini mulai rancak penawaran khidmatnya di seluruh negara. Ia dilihat sebagai satu alat kewangan yang membantu rakyat negara – untuk melaksanakan pembayaran secara ansuran.

Bagaiamanapun, dari perspektif pengguna Islam – terdapat persoalan adakah ia halal atau haram?

Berdasarkan persoalan yang menyentuh soal penggunaan Shopee Pay Later itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia (PMWPM) kini memberi pencerahan dari pandangan mereka menerusi aturan Islam, berhubung kewangan.

Melalui penjelasan, terdapat 2 tumpuan yang diketengahkan iaitu melibatkan caj pemprosesan dan caj lewat bayar yang telah ditetapkan dalam sistem BNPL.

1) Bagi kaedah pembayaran secara one-off dalam tempoh sebulan, tiada isu syariah padanya sekiranya pembayaran diselesaikan dalam tempoh sebulan sepertimana yang ditetapkan. Sebaliknya, sekiranya pelanggan lewat menyelesaikan bayaran dan dikenakan caj lewat bayar, maka berlakulah riba yang diharamkan Syarak.

2) Bagi kaedah pembayaran secara ansuran pula, terdapat dua isu Syariah padanya melibatkan caj pemprosesan dan caj lewat bayar. Hal ini kerana setiap caj pemprosesan dan caj lewat bayar yang dikenakan melebihi kos operasi dan kerugian sebenar adalah sebahagian daripada riba.

Maka secara ringkasnya – pengguna beragama Islam dilarang untuk turut serta dalam sebarang transaksi yang memiliki unsur riba kerana ia adalah haram dan berdosa besar – khususnya buat individu yang cenderung melaksanakan kelewatan pembayaran.