Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi Statistik Siswazah sejak 2018 sehingga 2020. Ternyata jelas menunjukkan wanita terus mendahului lelaki – bagi angka pengangguran yang lebih tinggi.
Berdasarkan perolehan tahun 2018, sekitar 162,000 penganggur dicatatkan dengan kadar wanita (4.4%) iaitu 92,100 penganggur dan lelaki pula (3.4%) iaitu pada paras 69,900 penggangur. Manakala bagi 2019 pula memaparkan jumlah pengangguran siswazah sekitar 165,200 individu – dengan wanita (4.2%) iaitu 91,800 dan lelaki (3.5%) pula 73,400 individu. Angka itu terus memaparkan peningkatan pada data 2020.
Ia berikutan kesan penularan COVID-19. Di mana wanita mencatatkan kadar peningkatan 4.6% dengan angka pengangguran kini 106,900 individu lebih tinggi berbanding lelaki dengan 95,500 individu. Ini bermakna dalam tempoh 3 tahun iaitu sebelum pandemik COVID-19 dan selepas tahun 2020 – situasi pengangguran tidak berubah, malah lebih tinggi.
Tahukah Anda Untuk Purata Gaji – Sekiranya Lelaki Terima RM100, Wanita Pula RM94.07
Pada data DOSM sendiri untuk 2020 telah menggariskan sekiranya purata tenaga kerja lelaki menerima upah dan gaji sebanyak RM100, wanita pula menerima RM94.07 sahaja.
Maka tidak hairanlah mengapa perbezaan dapat diperlihat pada Anggaran Pendapatan DOSM kedua-dua gender ini. Di mana wanita hanya menerima perolehan purata RM37,296 berbanding lelaki sekitar RM39,648.
Tetapi apabila bercerita tentang gaji – terdapat beberapa tanggapan berhubung isu ini. Antaranya adalah sikap pekerja sendiri dalam menetapkan nilai kemahiran mereka ketika memohon kenaikan gaji.
Terdahulu, penulis dalam diskusi Clubhouse pernah persoalan ini kepada majikan dalam ruang perbincangan terbuka. Ternyata kumpulan majikan berpendapat wanita lebih gemar mendiamkan diri atau tidak memiliki keyakinan untuk meningkatkan gaji mereka, ini berbez dengan lelaki.
Meskipun ini hanyalah tanggapan umum, namun ia boleh menjadi faktor asas kepada mengapa gaji dan upah wanita lebih rendah berbanding lelaki.
Adakah Ini Situasi Baharu? Jawapannya Tidak.
Jurang kadar upah antara lelaki dan wanita telah mula diperlihat sejak tahun 1974 lagi. Di mana pada era serba kekurangan itu golongan lelaki lebih diutamakan pada pembangunan pekerjaan negara dengan penyertaan 76% dalam ekonomi, sementara wanita pula 36%.
Secara faktanya, pembangunan pekerjaan ketika itu tidaklah seluas pada era ketika ini – namun ia masih memaparkan tahap kemahiran yang sama dimiliki oleh kedua-dua jantina. Maka tiada bezanya situasi tersebut.
Berbalik kepada era yang serba canggih ketika ini – meskipun penyertaan wanita pada peringkat pendidikan tertinggi telah terbukti pada institusi pendidikan negara – namun bagi tahun 2020 penglibatan wanita di dalam Sektor Profesional dan Teknikal hanyalah sekitar 44.4% berbanding lelaki 55.6%. Peningkatan penglibatan wanita pada bahagian tersebut hanya meningkat 0.01% sejak 2017 yang mencatatkan 44.3%.
Manakala bagi penyertaan wanita dalam Pengurusan, Pengubal Undang-Undang Pegawai Kanan adalah 23.3% – angka ini menurun berbanding 2017 sekitar 24.7%. Apatah lagi kedudukan wanita dalam penguasaan politik di Parlimen, di mana 14.9% wanita menguasai kerusi di sidang dan 17.9% pula jawatan Menteri, tidak menunjukan peningkatan ketara.