Artikel

Google Rancang Benarkan Sistem Pembayaran Alternatif – Di Korea Selatan

Ternyata penekanan Suruhanjaya Komunikasi Korea Selatan (KCC) telah berjaya – mengubah tingkahlaku Google, syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS). Apabila mereka kini mula merancang meminda dasar pembayaran terhadap negara tertentu.

Itu bermakna Google kini mula bersedia membenarkan sistem pembayaran alternatif atau pihak ketiga di Korea Selatan.

Bagi yang kurang jelas, sejak Ogos lalu Korea Selatan telah memandang serius akan sistem pembayaran yang berpaut pada penyedia Google dan Apple. Isu ini berikutan potongan 30% yang dikenakan Play Store dan App Store pada setiap transaksi yang dilaksanakan pengguna.

Berdasarkan makluman, bagi penggunaan pembayaran alternatif Google akan mengurangkan pengenaan caj khidmat dari 15% kepada 11%. Secara langsung pembangun akan menanggung kos untuk menyokong sistem pembayaran tersebut.

Selain itu, turut diingatkan sistem pembayaran alternatif ini tidak akan menawarkan ciri pelindungan yang sama sebagaimana yang terdapat pada Google Play.

Google memaklumkan pihaknya hormat akan keputusan Korea Selatan dan sebagai tindak-balas ia akan berkongsi perubahan sistem mengikut piawaian yang ditetapkan negara tersebut.

Usaha Google ini dilihat seiring dengan gagasan undang-undang baharu yang dikuat kuasakan oleh Korea Selatan. Di mana Perhimpunan Kebangsaan Republik Korea telah meluluskan rang undang-undang yang membenarkan pembangun untuk memintas sistem pembayaran yang dikenakan oleh Google dan Apple pada stor aplikasi mereka.

Untuk makluman, jika Google dan Apple enggan membenarkan sistem pembayaran alternatif, mereka boleh didenda sehingga 3% pendapatan oleh Korea Selatan.

Pindaan itu dimaklumkan tertakluk di bawah Akta Perniagaan Telekomunikasi Korea Selatan.