*Temubual Rnggt bersama Susan Ng, Pengurus Komersial Serantau IOUpay.
Segmen Beli Sekarang Bayar Kemudian (Buy Now Pay Later,BNPL) kini bukanlah suatu pilihan pembayaran yang asing dalam kalangan pengguna – terutama ketika era COVID-19 ini.
Ia mula menjadi pilihan para pengguna untuk mengatur perbelanjaan mereka dengan lebih teliti tanpa perlu membayar pada amaun keseluruhan dalam satu masa.
Perkara ini turut diakui oleh IOUpay apabila pengguna mereka memaparkan peningkatan untuk penggunaan segmen BNPL, kini platform kewangan IOUpay iaitu myIOU memiliki lebih 20,000 pengguna yang berdaftar bersama mereka.
BNPL Berperanan Meningkatkan Kuasa Beli Pengguna
IOUpay pada temubual eksklusif bersama Rnggt minggu lalu menyatakan landskap BNPL di Malaysia memiliki persaingan yang tersendiri. Meskipun perkhidmatan ini masih diperingkat awal untuk negara tetapi penglibatan penyedia mulai meluas di pasaran kepada pengguna.
Bagi myIOU, peranan BNPL ialah menyediakan kuasa beli kepada pengguna. Semua pihak sedari, susulan sumber kewangan yang terhad pada krisis ketika ini – ia menjadikan BNPL sebagai pilihan yang baik buat pengguna, terutama pada kumpulan B40 dan M40 untuk mengatur perbelanjaan mereka secara ansuran tanpa perlu khuatir akan jumlah perbelanjaan yang sebenar.
Untuk makluman, melalui IOUpay para pengguna pada ansuran pertama perlu melangsaikan pembayaran 30% dari jumlah sebenar. Peratusan selanjutnya akan dilakukan mengikut pembayaran yang dijadualkan pada aplikasi.
Melalui alternatif segmen ini – ia akan mengubah tingkahlaku pengguna untuk mengalakkan pembayaran secara nirtunai (tanpa tunai) berbanding bergantung kepada wang tunai dalam perbelanjaan mereka.
Tidak hanya itu, segmen ini juga secara langsung memanfaatkan perniagaan kecil untuk memacu hasil jualan mereka secara atas talian.
myIOU Mengutamakan Peniaga Dan Pengguna Di Bawah – Credit+, Merchant+
Apa yang menjadi tarikan di bawah aplikasi IOUpay adalah, pihaknya menampilkan ciri Credit+ kepada pengguna untuk meningkatkan had kredit mereka sehingga RM3,500 melalui aplikasi kad debit.
Sementara had sehingga RM10,000 pula menerusi aplikasi kad kredit.
Manakala bagi peniaga yang berdaftar pada Merchant Plus akan menerima tawaran istimewa dengan pemberian had kredit RM10,000 kepada pengguna yang telah memiiki kelulusan Credit+ di aplikasi.
Keseimbangan ini secara langsung menjadikan ia sebagai kekuatan penawaran khidmat myIOU – untuk membantu pengguna menikmati perolehan tunai dan membelanjakan ia kepada para peniaga. Setakat ini, lebih 1,300 peniaga telah menyertai khidmat IOUpay.
Pembayaran Pada Masa Ditetapkan – Adalah Tanggungjawab Peribadi Pengguna
Apabila disoal berkaitan kecenderungan BNPL meningkatkan nisbah hutang negara – IOUpay menggalakkan para pengguna berpegang pada prinsip yang sama dengan pembayaran hutang-hutang lain. Di mana perlu membayar mengikut jadual yang ditetapkan.
Pada fasa awal, pihaknya akan melakukan tapisan terlebih dahulu iaitu memastikan pengguna yang memohon memiliki kapasiti kewangan yang memenuhi kriteria digariskan. Seterusnya, jika pengguna gemar berbelanja lebih, IOUpay akan menyarankan peningkatan had kredit pada Credit+ dengan menjalankan penapisan kedua untuk mengelakan kesulitan untuk membayar balik ansuran yang ditetapkan oleh IOU Pay.
Tindakan itu akan membantu perbelanjaan pengguna dengan lebih baik.
Bagaimanapu, setiap penyedia tidak lari dari masalah menerima kelewatan pembayaran dan isu tersebut sememangnya berisiko meningkat kadar hutang negara. Namun itu adalah tanggungjawab pengguna dalam melunaskan penggunaan kredit tersebut.
Umum perlu sedari, pendedahan pengurusan kewangan tidak akan dicapai sekiranya pengguna BNPL tidak memiliki kesedaran pada tanggungjawab kewangan mereka.
IOUpay Terus Perluaskan Kerjasama – Kini Bersama Senheng, Tawar Pembayaran Alternatif Kepada Pengguna
Bagi merancakkan lagi dinamik segmen BNPL, IOUpay kini bersedia meluaskan kerjasama dengan entiti yang lain untuk penawaran pembayaran alternatif kepada pengguna.
Terbaharu, aturan itu telah dilaksanakan bersama Senheng pada 8 Oktober lalu – di mana kesepakatan itu akan membolehkan pengguna berbelanja barangan elektronik pada kemudahan had kredit maksimum RM10,000. Lebih menarik kemudahan itu, membuka peluang kepada pengguna untuk menikmati kadar faedah sifar.
Menerusi kesepakatan ini ia turut membantu Senheng meningkatkan penglibatan mereka pada pasaran dengan BNPL. Sementara IOUpay pula akan turut memperluaskan khidmat mereka, untuk tampil selaku peneraju pada khidmat BNPL di Malaysia dan Asia Tenggara.
Selain Senheng, IOUpay sebelum ini turut melebarkan usahama dengan Gintell dan Hewlett Packard.