Keperluan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kini wajar diperluaskan oleh negara – memahami tuntutan itu, Pharmaniaga Research Centre, anak syarikat milik Pharmaniaga Bhd kini melaksanakan kerjasama dengan Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) untuk mengembangkan bidang tersebut.
Langkah ini turut bertepatan dengan matlamat negara untuk menghasilkan vaksin tersendiri kelak.
Kesepakatan persefahaman (MoU) ini secara langsung akan memacu industri farmaseutikal negara dengan meningkatkan produktiviti sektor kesihatan. Tumpuan pembangunan tidak hanya tertumpu kepada penghasilan vaksin COVID-19 tetapi meliputi kepelbagaian jenis vaksin ke atas byi, kanak-kanak dan orang dewasa.
Untuk makluman, setakat ini Malaysia sekadar bergantung kepada import vaksin dan tiada sebarang vaksin manusia sedang dibangunkan atau dihasilkan oleh pembangunan tempatan. Ketika ini, sektor pembuatan bagi pengisian vaksin Sinovac seperti yang dihasilkan Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) sahaja diperlihatkan.
Secara keseluruhan melalui usahasama ini, ia akan menjadi satu lagi langkah ke arah membina kesiapsiagaan negara menentang sebarang krisis di masa hadapan, serta mengukuhkan rancangan Pharmaniaga untuk menubuhkan kilang pembuatan vaksin halal pertama dunia di Malaysia.