Artikel

Perluasan Duti Eksais Terhadap Produk Minuman Bergula – Dijangka Naikkan Harga

Selain kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin – pentadbiran negara pada pembentangan Belanjawan 2022 turut memaklumkan untuk meluaskan duti eksais ke atas produk minuman bergula.

Ini meliputi pengenaan minuman bergula pracampuran iaitu berasaskan coklat atau koko, malt, kopi dan teh.

Duti Eksais – merupakan duti yang ditetapkan oleh Menteri di bawah Seksyen 6, Akta Eksais 1976 yang dikenakan ke atas barangan berduti yang dikilang oleh syarikat yang dilesenkan di bawah Seksyen 20, Akta Eksais 1976. Duti ini juga dikenakan ke atas barangan yang sama sewaktu diimport.

Mengamati tindakan tersebut – perluasan duti bermula 1 April 2022 kelak dijangka akan menjejaskan dan meningkatkan harga jualan minum bergula. Ini kerana pengeluar minuman perlu meningkatkan harga susulan pengenaan cukai gula tambahan tersebut.

Namun sekiranya pengeluar tidak ingin melakukan sedemikian – pilihan yang harus dilaksanakan adalah menggunakan kandungan gula yang rendah pada produk.

Firma penyelidikan CGS-CIMB menyatakan antara pengeluar yang terjejas pada kitaran 30% sehingga 50% adalah seperti Nestlé dan Power Root.

Sekiranya benar kadar kandungan gula dapat dikurangkan ia tidak akan memberi impak yang ketara pada harga jualan – namun jika tidak, ini kekal mewujudkan potensi kenaikan harga jualan pada pasaran produk minuman bergula.