Artikel

Microsoft Hampir Mengatasi Apple – Selaku Syarikat Paling Berharga

Peningkatan saham Microsoft Corp pada hari Rabu (27 Oktober) dilihat hampir mengatasi kedudukan Apple Inc – selaku syarikat paling bernilai di dunia.

Di mana pertumbuhan suku tahunan Microsoft dilihat kukuh pada segmen pengkomputeran Azure, saham Microsoft telah melonjak 4.2% kepada rekod AS$323.17. Ini sekaligus meningkatkan permodalan pasaran perisiannya kepada AS$2.426 trilion. Kurang sedikit daripada penilaian Apple sekitar AS$2.461 trilion.

Menurut data Refinitiv itu, saham Apple sedikit merosot 0.3% susulan krisis rantaiakan bekalan global yang telah mencabar keupayaan syarikat dalam memenuhi permintaan pengguna pada pembelian peranti pintarnya.

Selain itu berdasarkan perbandingan saham, Microsoft telah meningkat 45% pada tahun ini, lebih tinggi daripada Apple yang memaparkan nilai peratusan 12%. Ternyata kedua-dua syarikat gergasi ini saling mengatasi untuk tampil selaku entiti paling bernilai di papan Wall Street – bagaimanapun Apple kekal memegang tampuk tersebut sejak pertengahan 2020.