Artikel

Lebih 400,000 Isi Rumah Di Malaysia – Kini Hidup Di Bawah Paras Kemiskinan

Kehadiran COVID-19 secara langsung telah mengubah dinamik dan landskap sosial Malaysia.

Berdasarkan laporan CNA, ketika ini negara memiliki lebih 400,000 isi rumah mahupun keluarga – di bawah paras kemiskinan. Walaupun pentadbiran negara sejak tahun 2020 telah mengagihkan bantuan lebih RM10 bilion kepada kumpulan pendapatan pertengahan dan rendah – ia masih tidak memadai.

Untuk makluman, berdasarkan pengamatan DOSM terdapat 580,000 isi rumah iaitu bersamaan dengan 20% daripada kumpulan M40 Malaysia, kelas pendapatan pertengahan – telah mengalami penurunan pendapatan kepada B40.

Meskipun tidak diperincikan taraf pendapatan terkini – ia jelas menunjukkan kesan yang ketara pada landskap sosial negara.

Selain bantuan tunai dan bantuan lain yang terhad – kerajaan juga diminta untuk membantu golongan kanak-kanak yang tercicir disebabkan krisis kesihatan ini. Permintaan menawarkan latihan kemahiran hidup kepada kanak-kanak harus diteliti oleh kerajaan Malaysia dalam Belanjawan 2022 kelak.

Ketandusan kemahiran, sekadar menafikan kewujudan mereka dalam pendidikan dan peluang pekerjaan negara. Adanya pertimbangan ini, golongan miskin dan pertengahan berupaya mengubah faktor pendapatan mereka di masa hadapan kelak.