Artikel

Exabytes, Open DC – Atur Kerjasama Kendali Pusat Data Pulau Pinang

Pulau Pinang dilihat memiliki potensi selaku hab pusat data bagi menyokong ekosistem perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara. Melihat keupayaan tersebut, Exabytes bersama Open DC kini memeterai persefahaman perjanjian untuk pembentukan pusat data di Pulau Pinang.

Selaku penyedia teknologi platform e-dagang dan digital – Exabytes melihat pembentukan pusat data di Suntech Cybercity itu akan menyumbang kepada pengukuhan infrastruktur landskap internet Malaysia.

Pusat data ini akan berperanan menawarkan kesinambungan Internet setempat, dengan lokasi yang lebih mudah dicapai dan selesa untuk pemain industri perniagaan di Pulau Pinang memperkasakan operasi premis.

Untuk makluman, Open DC ialah syarikat yang bertanggungjawab mengasaskan Johor Bahru Internet Exchange (JBIX) yang kemudian bergabung dengan DE-CIX Malaysia untuk membentuk DE-CIX JBIX Internet Exchange.

Exabytes dan Open DC menandatangani perjanjian usahasama ini pada 20 September 2021 bagi menubuhkan Open DC Penang Sdn. Bhd (ODCP). ODCP dimiliki secara bersama oleh Open DC dan Exabytes dengan perkongsian sebanyak 51% dan 49%. Sebaik sahaja diperbadankan, OCDP akan memiliki dan mengendalikan pusat data ini di Suntech Cybercity Pulau Pinang yang kini dikendalikan oleh Exabytes.

Melalui perjanjian ini kedua-dua entiti ingin memperkasakan Ekosistem Awanan dan Pusat Data di Pulau Pinang, serta menjadikan Pulau Pinang sebuah hab Internet era IR 4.0 di utara Malaysia.