Artikel

Ada Apa Dengan Hiperinflasi – Mengapa CEO Twitter Beri Amaran?

Dua hari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Twitter Jack Dorsey menyatakan Amerika Syarikat dan masyarakat dunia tidak lama lagi – akan berdepan hiperinflasi dan ia akan memberi kesan secara menyeluruh terhadap kedudukan ekonomi.

Jadi apa itu hiperinflasi? Mengapa kenyataan ini kelihatan begitu berat sekali?

Apa itu Hiperinflasi?

Apabila berlakunya permintaan yang tinggi, tatkala kapasiti bekalan adalah rendah – maka tercetuslah inflasi. Ia membawa kepada kenaikan harga barangan.

Bagaimana pula dengan Hiperinflasi? Secara mudahnya ia adalah istilah kenaikan harga yang terlalu tinggi dan berlaku dalam suatu jangka masa tertentu. Di mana kadar inflasi sesebuah negara telah mula melebihi ukuran 50% bagi tempoh sebulan.

Pemerhatian hiperinflasi ini wujud, susulan kenaikan harga pengguna yang berlaku ketika ini era COVID-19 – disebabkan krisis rantaian bekalan. Bagaimanapun istilah ini tidak digunakan – kerana membawa cerminan tahap inflasi yang tinggi kepada ekonomi sesebuah negara.

Untuk makluman, ketika ini Indeks Harga Pengguna AS diperlihatkan tertinggi dalam tempoh 30 tahun. Bulan September memaparkan paras inflasi di tahap 5.4% meningkat, berbanding 5.3% pada Ogos 2021.

Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell telah memaklumkan situasi inflasi ini akan terus berlarutan sehingga tahun hadapan 2022. Lebih membimbangkan – kenyataan itu turut disokong oleh Gita Gopinath Ketua Ekonomi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan menyatakan, inflasi akan berlanjutan sehingga pertengahan tahun 2022.

Akan tetapi pada Julai lalu – Presiden AS -Joe Biden menyatakan situasi inflasi tidak akan berlarutan. Keyakinan tersebut agak sukar diterima oleh pemerhati ekonomi. Ini kerana pada masa yang sama pelbagai syarikat gergasi mula memaklumkan peningkatan harga produk disebabkan tekanan inflasi.

Antaranya seperti Harley-Davidson, Unilever, dan Whirlpool.

Apa Kesannya Kepada Rakyat Dunia?

Indeks harga pengguna. Pendapatan. Nilai mata wang. Ekonomi negara.

Hiperinflasi akan menjejaskan indeks harga pengguna dan ekosistem ekonomi. Pengguna perlu memiliki jangkaan bahawa aliran perbelanjaan akan semakin meningkat.

Ia juga akan mendorong kepada pengurangan kuasa pembeli. Ini kerana pengguna akan lebih berhati-hati melaksanakan perbelanjaan, susulan kenaikan harga pengguna. Lebih parah tindakan itu turut disebabkan faktor paras gaji yang tidak setimpal dengan bebanan kos sara hidup.

Seterusnya pihak perbankan pula akan mengalami masalah kecairan – iaitu pulangan deposit kepada pengguna, tidak dapat dilakukan. Ini kerana dana deposit digunakan untuk pulangan keuntungan bagi pelaburan Syarikat atau Individu. Namun jika pengeluaran tunai dilakukan pengguna secara berterusan, ia  akan memberi kesan kepada kekurangan dana deposit oleh perbankan.

Manakala kesan yang dipikul pada nilai mata wang pula adalah hilangnya keyakinan terhadap kreadibiliti tunai. Di mana kelemahan polisi kewangan akan mendorong kepada tindakan jualan mata wang dan langkah itu sekadar menjatuhkan nilai mata wang secara berterusan.

Status Inflasi Di Malaysia?

Malaysia juga mengalami ketidaktentuan kadar inflasi.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada April 2021 memaklumkan ukuran kenaikan inflasi negara melalui Indeks Harga Pengguna (IHP) akan berterusan sehingga suku pertama 2022 kelak.

Untuk makluman, April lalu Malaysia memaparkan kadar inflasi yang tinggi pada paras 4.7% – ia adalah data tertinggi sejak 2018. Bagaimanapun, setakat September kenaikan inflasi kini di paras 2.2%.

Peningkatan sederhana ini susulan penyelarasan diskaun bil elektrik bulanan yang diberikan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) untuk tempoh tiga bulan efektif 1 Julai 2021.

Walaupun paras inflasi negara positif namun kekurangan tenaga kerja juga cenderung menjadikan peningkatan kos berlaku ke atas pengeluar. Aspek sedemikian akan menyebabkan para pembekal rangkaian perkhidmatan menaikkan harga berikutan kesan asas rendah telah memberi impak kepada indeks harga pengeluar. Menjadikan ia lebih terbeban kepada mereka.

Maka situasi itu memerlukan ketersediaan pengguna dalam menghadapi tekanan inflasi pada perbelanjaan.