Artikel

80% Khidmat Kerajaan Dijangka Beralih Ke Atas Talian – Menjelang Tahun 2025

Perkhidmatan awam di bawah pimpinan Malaysia, seharusnya menjadi peneraju dalam memberi akses kemudahan yang pantas kepada masyarakat negara.

Melihat kepentingan itu, 80% perkhidmatan kerajaan disasarkan akan mulai beralih ke khidmat atas talian menjelang tahun 2025. Tindakan ini bertepatan dengan era teknologi semasa. Di samping Malaysia ingin memantapkan kecekapan, ketelusan dan keberkesanan khidmat awam.

Perkara itu telah dimaklumkan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) pada kenyataan minggu lalu.

Menurutnya, memanfaatkan kelebihan ekosisten ekonomi digital mampu membantu negara meraih kembali keuntungan yang tinggi. Di mana berdasarkan laporan AlphaBeta – peralihan digital mampu mendorong Malaysia, jana sehingga RM257 bilion menjelang tahun 2030 kelak.

Maka, tidak hanya sektor swasta seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersama ekonomi lain sahaja yang memikul tanggungjawab tersebut. Bahkan perkhidmatan kerajaan perlu mengorak langkah yang sama.

Melalui saranan ini, ia seiring dengan matlamat pentadbiran Dato’ Sri Ismail Sabri untuk memacu landskap ekonomi digital di bawah gagasan MYDIGITAL.