Di kala semua pihak meratapi dan terkesan akan COVID-19, nasib yang sama turut didepani petugas barisan hadapan – khususnya petugas kesihatan dunia.
Melalui data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi rekod Januari 2020-Mei 2021 menunjukkan sekitar 80,000 sehingga 180,000 pekerja kesihatan telah meninggal dunia disebabkan COVID-19.
Angka itu adalah merangkumi jumlah daripada 135 juta petugas kesihatan serta penjagaan di seluruh dunia. Ini amat membimbangkan.
Mengambil kira situasi getir ini – WHO menyatakan masih ramai petugas kesihatan yang tidak divaksinasi oleh beberapa negara, susulan halangan dan kawalan bekalan vaksin.
Kumpulan ini menegaskan, sewajarnya pekerja kesihatan diberi keutamaan dalam memperolehi vaksinasi. Ini kerana tugasan mereka yang berisiko berupaya menurunkan kualiti sistem kesihatan sesebuah negara.
Oleh itu, untuk memantapkan peranan kesihatan – tindakan vaksinasi wajib diutamakan kepada kumpulan pekerja ini. Ketidaksamarataan yang wujud dalam pembekalan vaksin telah melemahkan gagasan petugas kesihatan dunia.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada ketika ini menggesa setiap negara mencapai kadar vaksinasi 40% penduduknya menjelang akhir 2021 termasuklah melengkapkan petugas barisan hadapan dengan suntikan vaksin. Bagaimanapun, terdapat petunjuk memaparkan 82 buah negara dijangka gagal mencapai sasaran tersebut, sekiranya isu pembekalan vaksin masih lagi berlaku.