Dalam tempoh hampir 2 tahun, 89 juta penduduk di Asia-Pasifik kini sedang berdepan risiko tahap kemiskinan yang melampau.
Antara aspek yang mendorong kepada peralihan tersebut adalah disebabkan beban hutang yang semakin tinggi, yang dihadapi negara-negara sedang membangun.
Data ESCAP – Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia-Pasifik yang dibentangkan di Bangkok, Thailand hari ini (20 Oktober) nyata memberi amaran awal kepada negara berkaitan, untuk mengatur semula strategi rangsangan ekonomi mereka.
Menurut Armida Salsiah Alisjahbana iaitu Setiausaha Eksekutif ESCAP pada sidang Jawatankuasa Dasar Makroekonomi, Pengurangan Kemiskinan dan Pembiayaan untuk Pembangunan – penyelarasan sumber fiskal dan kewangan wajar dipertimbangkan semula oleh semua pihak.
Peralihan 89 juta individu ini bukanlah suatu angka yang menarik pada prospek ekonomi global. Ia adalah petanda ketidaktentuan sistem dalam depani risiko dunia.
Meskipun keutamaan jelas pada pemulihan COVID-19, namun usaha meningkatkan daya ketahanan ekonomi perlu tersedia pada ruang pertumbuhan sesebuah negara. Langkah itu, akan membantu negara memiliki semula corak pendapatan dan aliran tunai.
Maka, penerapan strategi pembiayaan inovatif dan digital, seperti bon tematik, pelaporan risiko iklim, hutang berhubung perubahan iklim dan penyelesaian pembayaran digital – harus terus diperkasakan untuk mengimbangi situasi tersebut.
Tidak hanya itu, perkongsian pakar dan agihan pembiayaan juga akan dipertimbangkan untuk mengatasi isu ini.