Artikel

Ekonomi Di Sebalik Industri Perkahwinan Malaysia – Apa Nasib Pertumbuhan Bernilai RM7 Bilion Ini?

Industri Perkahwinan tidak hanya penting untuk dua individu mahupun dua buah keluarga sahaja, dalam menyatukan ikatan mereka dari aspek sosial seperti hubungan dan budaya – tetapi turut memberi kesan kepada aliran ekonomi global.

Tahukah anda – industri perkahwinan di Asia-Pasifik berupaya menyumbang sehingga AS$300 bilion, ini menjadikan ia sebagai penyumbang kedua terbesar pada pasaran dunia untuk segmen tersebut.

Pada sumbangan itu, data global memperlihatkan China selaku peneraju utama dengan sumbangan hampir AS$130 bilion setiap tahun, diikuti India dengan nilai pertumbuhan sekitar AS$40 juta sehingga AS$50 juta setahun dan Indonesia pula sekitar AS$3.9 bilion.

Jadi bagaimana pula dengan nilai industri perkahwinan di Malaysia? Adakah ia lumayan dan kukuh sepanjang pandemik COVID-19 ini?

Industri Perkahwinan Malaysia Bernilai RM7 Bilion Setiap Tahun

Berdasarkan laporan, sejak 2014 lagi – industri perkahwinan di Malaysia memiliki lebih 62,000 petugas dan pertumbuhan dianggarkan mencecah sekitar RM7 bilion setiap tahun iaitu bersamaan dengan AS$1.68 bilion. Dan nilai tersebut dijangka terus meningkat, susulan permintaan generasi muda sentiasa mengalami perubahan konsep berdasarkan permintaan dekorasi tertentu.

Angka ini bukanlah satu kejutan untuk sebuah industri perkahwinan.

Ini kerana, melalui rekod status perkahwinan di Malaysia – kebiasaannya negara hampir mencatatkan jumlah perkahwinan di paras 300,000 setiap tahun.

Sekiranya kita lihat pada kerangka data Perkahwinan dan Penceraian Malaysia 2020 – di bawah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sekitar 203,821 individu telah melangsungkan perkahwinan pada tahun 2019 sahaja. Dengan kadar perkahwinan kasar adalah sekitar 6.3 individu bagi setiap 1,000 penduduk di Malaysia.

Walaupun data ini, menunjukkan penurunan berbanding data 2018 iaitu dicatatkan seramai 206,352 individu berkahwin – menyusut 1.2%. Tetapi ia tidak menidakkan dari jumlah perkahwinan tersebut keuntungan industri ini adalah kekal tinggi.

Walaupun keuntungan yang diperolehi dikira lumayan, tetapi kehadiran pandemik COVID-19 nyata telah mengubah persepsi tersebut dan meningkatkan kadar kerugian industri perkahwinan Malaysia.

COVID-19 Dorong Kerugian Tahunan Industri Perkahwinan Malaysia – Pada Purata RM10.3 Bilion

Pada ketika Khairy Jamaluddin – Menteri Kesihatan Malaysia mengeluarkan kenyataan, bahawa majlis sosial adalah yang terakhir dibenarkan untuk dibuka secara menyeluruh. Kata-kata itu pasti cukup perit untuk difahami oleh pemain industri perkahwinan Malaysia.

Ya, pemain indsutri yang terdiri daripada 35 sektor ekonomi yang terlibat secara langsung di dalam industri perkahwinan Malaysia.

Setelah hampir 2 tahun berdepan cabaran pandemik COVID-19, industri perkahwinan tempatan dianggarkan terpaksa berdepan kerugian tahunan sekitar RM10.3 bilion pada awal tahun 2021.

Malah pemberhentian pekerja terpaksa dilakukan untuk menampung kos kerugian.

Data Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia pada pertengahan Februari 2021 lalu menunjukkan seramai lebih 4,200 pengendali perkahwinan akan terkesan dengan nilai kerugian tersebut.

Meskipun purata perolehan pendapatan pengendali adalah sekitar RM2.5 juta setahun, tetapi ia tidak memberi jaminan kelangsungan premis dalam tempoh yang lama. Sekiranya ia tidak dibenarkan buka secara menyeluruh.

Kerugian tersebut meliputi 35 sektor yang terlibat sepeti bahagian pengaturacara majlis, bahagian makanan, perkhidmatan tambahan, sewaan premis, jurumekap serta jurugambar.

Selain itu, pemain industri perlu memenuhi tuntutan pampasan kepada para pelanggan mereka berikutan penangguhan dan pembatalan aturcara majlis. Situasi ini sekaligus memberi tekanan kepada pemain industri untuk menampung dan mengatur kembali keuntungan mereka.


Peralihan Fasa 4 PPN, Rentas Negeri – Beri Kelegaan Kepada Pemain Industri Perkahwinan Malaysia

Walaupun pentadbiran negara masih tidak membenarkan operasi industri perkahwinan berskala besar dilaksanakan – namun peralihan beberapa negeri di bawah Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kelonggaran merentas negeri kepada orang awam, sedikit sebanyak beri kelegaan kepada mereka.

Pengumuman tersebut membuka harapan kepada pemain industri untuk menawarkan khidmat mereka mengikut kesesuaian harga dan kapasiti yang dibenarkan.

Antaranya khidmat seperti katering, solekan dan sesi bergambar.

Meskipun pulangan yang diterima tidak begitu tinggi berbanding data sebelum ini, tetapi ia kekal merancakkan kembali aliran perbelanjaan negara dan membantu 35 sektor berkaitan untuk mempergiatkan semula khidmat mereka.

Setakat ini, segala operasi aturcara majlis perkahwinan adalah tertakluk kepada penyelarasan Jabatan Agama Islam di setiap negeri. Maka segala aturan perlu dilihat pada SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), ia sentiasa mengalami perubahan dari semasa ke semasa.