Artikel

Perubahan Iklim Cetus Risiko Pada Tanaman Padi Malaysia – Kini Catat Lebih RM150 Juta Kerugian

Kesan perubahan iklim, sememangnya suatu isu yang wajar diteliti negara – untuk memastikan sumber makanan dan hidupan kekal terjamin bagi tempoh yang lama.

Bagaimanapun, risiko ancaman sumber tersebut diperlihat semakin tinggi.

Apabila data MAFI – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia menyatakan rekod antara 2017 dan 2021 menunjukkan sejumlah 40,828,28 hektar sawah padi di seluruh Malaysia telah musnah, susulan kesan banjir.

Sementara 9,336,45 hektar pula telah mengalami kerosakan disebabkan kesan kemarau.

Situasi ini didorong berpandukan kepada ketidaktentuan taburan hujan dan iklim panas di Malaysia. Berdasarkan tinjauan Jabatan Meterologi Malaysia (Met Malaysia) pada Senario Perubahan Iklim Malaysia 2001-2099 – menunjukkan kekerapan iklim kering dan panas telah meningkat sejak tahun 2005.

Di mana 18% daripada 350,000 hektar sawah dicatatkan berdepan iklim kering berpanjangan, manakala sawah yang mengalami taburan hujan lebat yang tinggi pula adalah di bahagian Pantai Timur.

Situasi ini, secara langsung tidak hanya merencatkan sumber makanan negara tetapi turut meningkatkan kerugian yang dialami para petani tempatan.

Setakat ini, kerosakan tanaman padi disebabakan kemarau adalah RM21.6 juta dan disebabkan banjir adalah RM128.8 juta.

Maka bagi mengatasi isu kemarau dan taburan hujan – antara insiatif dilaksanakan adalah pengumpulan data ramalan Met Malaysia dan Institut Penyelidikan Air Nasional disatukan bagi memastikan ketersediaan data menyeluruh dapat dicapai.

Ini bermakna amaran kemarau dan ketersediaan air akan dikeluarkan seawal 14 hari kepada semua pemain industri di peringkat negeri mahupun persekutuan. Tindakan ini akan membantu perancangan penanaman padi yang lebih pintar dan lestari dapat dibentuk di Malaysia untuk mengurangkan kerugian.