Artikel

Tatkala Parlimen 1970 Ditangguhkan – Apa Jadi Pada Belanjawan, Landskap Ekonomi Ketika Itu?

Setelah parlimen dibubarkan pada 20 Mac 1969 – maka pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) secara berperingkat mula dijalankan Malaysia. Bagi pembentukan pentadbiran baharu.

Bagaimanapun susulan peristiwa 13 Mei 1969, rusuhan perkauman telah tercetus di negara – ini membawa kepada pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Di mana Proklamasi Darurat telah diumumkan pada tanggal 15 Mei 1969, selari mengikut ketetapan Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan di atas nasihat Perdana Menteri Interim (sementara) Tunku Abdul Rahman pada ketika itu, demi mengawal kesejahteraan masyarakat negara.

Maka situasi ini, telah menunda pelaksanaan PRU Malaysia dan ini membawa kesan kepada penangguhan persidangan Parlimen 1970, secara tidak langsung.

Untuk makluman, Parlimen 1970 tidak digantung tetapi telah ditangguhkan sehingga 20 Februari 1971 – apabila sidang Dewan Rakyat mula dipanggil bersidang kembali.

Tindakan itu dicapai setelah PRU Parlimen di Sabah dan Sarawak selesai pada 4 Julai 1970.

Oleh itu, apabila melihat situasi sedemikian – pelbagai pihak menyuarakan, apa yang berlaku pada Belanjawan 1970? Pihak mana yang ketika itu memerintah negara, sekiranya parlimen telah dibubarkan dan berdepan situasi darurat?

Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) Dan Belanjawan 1970

Majlis Gerakan Negara atau lebih dikenali sebagai MAGERAN ialah suatu pembentukan badan pentadbir negara, setelah Malaysia berdepan peristiwa 13 Mei 1969.

Badan pentadbiran ini diberi tugasan untuk menjalankan urusan negara bermula pada tarikh 16 Mei 196 sehingga 23 Februari 1971. Ini bermakna, pelaksanaan MAGERAN adalah bertujuan membantu negara memulihkan kembali perpaduan dan mengawalselia segala pergerakan negara. Untuk makluman – pembentukan MAGERAN pada ketika itu diketuai Tun Abdul Razak Hussien iaitu Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Jadi, apa yang berlaku kepada asas Belanjawan 1970?

Asas belanjawan 1970, masih lagi dibentuk dan ia kekal dikemukakan pada sidang Dewan Rakyat pada Februari 1970 dengan titah YDP Agong. Di mana, jumlah anggaran Belanjawan 1970 adalah AS$3,243.4 juta, merangkumi AS$2,282.2 juta untuk Perbelanjaan Mengurus. Sementara AS$961.2 juta pula diagihkan untuk Perbelanjaan Pembangunan, meliputi AS$40 juta untuk situasi luar jangka negara.

Buat pengetahuan umum, antara anggota ahli MAGERAN pada masa itu adalah terdiri daripada Tun Tan Siew Sin – yang masih mengekalkan portfolionya selaku Menteri Kewangan negara.

Maka, secara jelasnya – meskipun Malaysia berdepan dengan situasi yang sukar, namun aliran peruntukan negara kekal diteruskan oleh YDP Agong dan Jabatan Perbendaharaan Malaysia.

Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru – Mula Dibentuk

Seterusnya bagi merangsang pertumbuhan dan keharmonian negara – Malaysia mula membentuk piagam Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 dan Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1971.

Rukun Negara – menampilkan 5 prinsip utama Malaysia yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di- Pertuan Agong IV, dengan tujuan untuk membantu membangun sebuah negara menjadi kuat dan bersatu.

  • Kepercayaan Kepada Tuhan
  • Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
  • Keluhuran Perlembagaan
  • Kedaulatan Undang-undang
  • Kesopanan dan Kesusilaan

Pembentukan Rukun Negara ini telah digubal oleh Jabatan Perpaduan Nasional bagi menyeimbangkan semula pembangunan ekonomi pada ketika itu dengan nilai-nilai yang lebih baik.

Manakala pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pula diterapkan di bawah pengenalan Rancangan Malaysia Ke-2 (1971-1990), di mana ia menjadi alat ekonomi dalam mengurangkan kadar kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan.

Di samping itu dapat membuka peluang ekonomi baharu kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, khususnya tumpuan pada perindustrian dan perdagangan.

Adanya DEB – pentadbiran Malaysia ketika itu menyasarkan matlamat untuk memperbaiki taraf hidup rakyat negara menerusi pelbagai sektor. Seperti kemudahan pendidikan, kesihatan dan penawaran pelbagai infrastruktur yang lebih baik.


Kini berdasarkan pengamatan penulis, peristiwa sedemikian – seharusnya dijadikan pengajaran Malaysia pada masa ini, iaitu perlu sentiasa mengutamakan kebajikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama mahupun kelas pendapatan.

Tindakan itu tidak sekadar mengekalkan perpaduan dan mengimbangi struktur ekonomi negara. Bahkan berupaya membantu Malaysia mencorakkan kembali kesejahteraan negara.