Sekiranya ingin melangkah ke arah bandar raya yang maju, kerajaan negeri Johor kini perlu teliti pelbagai usaha untuk mengatasi isu unit rumah yang tidak terjual.
Setakat ini, lebih 70,000 unit rumah di bandaraya Johor Bahru dicatatkan tidak terjual, ditinggalkan sepenuhnya oleh pemilik atau berkemungkinan telah dijual tetapi tidak diduduki.
Maka usaha untuk memastikan unit kediaman ini tidak tergendala adalah antaranya akan memperkenalkan program penyewaan kepada golongan muda. Perkara ini akan mencapai persetujuan bersama syarikat hartanah untuk memastikan unit tersebut tidak terbiar.
Selain itu, Menteri Besar Hasni Mohammad turut menyatakan antara faktor lain yang mendorong kepada peningkatan unit tidak terjual ini adalah kerana dasar dan syarat di bawah Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
MM2H, ialah skim kediaman visa jangka masa panjang untuk warga luar negara membeli hartanah dan tinggal di Malaysia. Ia mula diperkenalkan sejak tahun 2002.
Bagaimanapun, susulan penangguhan sementara pada Ogos 2020 – ia telah merencatkan jualan unit perumahan tersebut.
Oleh itu, usaha meningkatkan kembali jualan harus dilaksanakan segera. Buat masa ini, pengumpulan data berhubung unit rumah yang telah siap dan tidak terjual akan disatukan. Seterusnya akan diteliti berdasarkan jenis unit dan kadar sewa yang bersesuaian untuk orang awam.