Artikel

IKEA Malaysia Catat Perolehan RM1.3 Bilion – Disusuli Peningkatan Berganda Jualan Atas Talian, Sepanjang 12 Bulan

Ikano Retail, syarikat francais IKEA yang bertanggungjawab membawa jenama tersebut ke pasaran Malaysia – kini memaklumkan perolehan gabungan bagi tempoh September 2020 sehingga Ogos 2021 telah merekodkan RM1.3 bilion.

Lebih menarik aliran pertumbuhan ini turut memperlihatkan peningkatan dua kali ganda pada jualan atas talian iaitu 57% kepada RM247 juta.

Meskipun IKEA Malaysia kekal terkesan disebabkan pandemik COVID-19 dengan penyusutan 17% pada pasaran namun, segmen atas talian memberi nafas lega pada pertumbuhan.

Untuk makluman, selain IKEA Malaysia – Ikano Retail turut bertanggungjawab menguruskan operasi di Singapura, Thailand dan Mexico. Melalui kesemua gabungan perolehan – ia berupaya menjana RM3.6 bilion dengan peningkatan 3.3%.

Berdasarkan perancangan lanjut, Ikano Retail menyatakan perancangan mereka untuk membuka rangkaian IKEA terbesar di Filipina tidak lama lagi. Sementara perluasan cawangan di Vietnam pula akan dibentuk dalam beberapa tahun mendatang.