Artikel

Pulau Pinang, Sabah, Sarawak Dan Kuala Lumpur – Catat Kadar Kesuburan Wanita Paling Rendah

Isu kesuburan sememangnya dekat akan segmen ekonomi sesebuah negara. Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tahap Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) wanita di Malaysia telah mengalami penurunan sejak tahun 2015 lagi.

TFR ialah indikator demografi yang digunakan untuk menganggarkan purata bilangan anak yang perlu dilahirkan oleh seorang perempuan selama tempoh reproduktifnya (15 tahun-49 tahun).

Tinjauan pada Siri Masa Indikator Utama Perangkaan Penting Malaysia 2010-2020 ini memaparkan kadar kesuburan wanita bagi tahun 2020 adalah terendah dengan 1.7 anak bagi setiap 1,000 wanita berbanding 1.8 anak pada data 2019.

Ini secara tidak langsung turut memperlihatkan data 2020 sebagai laporan terendah sejak 4 dekad lalu, di mana tahun 1970 mencatatkan paras 4.9 anak.

Sejak 1970 hingga 2012, TFR negara telah direkodkan di atas paras penggantian 2.1 anak yang menunjukkan bahawa purata bilangan bayi yang dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang tempoh kesuburannya mencukupi untuk menggantikan dirinya dan pasangannya. Walau bagaimanapun, TFR mula menurun di bawah paras penggantian pada tahun 2013 dan keatas.

Menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir – sekiranya paras penggantian kesuburan kekal dalam tempoh yang panjang, setiap generasi secara tepat akan menggantikan dirinya dan pasangannya tanpa mengambil kira migrasi penduduk.

Sementara mengikut pecahan etnik – kumpulan Bumiputera masih berada di atas paras penggantian iaitu 2.1 anak. Berbeza dengan etnik India (1.2 anak) dan Cina (1.0) yang berada di bawah paras penggantian.

Manakala, bagi perincian mengikut negeri pula Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur – tampil selaku negeri yang memiliki kadar kesuburan wanita yang rendah berbanding paras negeri lain.