Artikel

Squid Game – Papar Realiti Sebenar Krisis Hutang, Yang Menghantui Rakyat Korea Selatan

Setiap paparan penceritaan di sebalik skrin – pastinya terinspirasi dari kisah sebenar. Mungkin tidak secara menyeluruh tetapi mesej yang ingin disampaikan, menepati realiti yang sedang dilalui oleh segelintir pihak ketika ini.

Begitulah Squid Game pada pengamatan penulis. Sebuah siri Netflix ini dilihat secara tidak langsung, memaparkan realiti sebenar yang sedang dilalui warga Korea Selatan.

Negara maju ini mungkin dilihat sebagai ekonomi kuasa besar di Asia setelah China, Jepun dan India – tetapi krisis hutang rakyat negaranya cukup membimbangkan.

Korea Selatan – Krisis Hutang Isi Rumah Papar Jurang Ketara Antara Kelas Masyarakat

Meskipun hasil penulisan Squid Game oleh Pengarah Hwang Dong-Hyuk ini telah mula dibentuk sejak tahun 2008 lagi, namun penulis pasti isu yang dibangkitkan beliau adalah seiring dengan peningkatan krisis hutang isi rumah yang sedang dihadapi oleh rakyat Korea Selatan – yang telah berlaku sejak 2006.

Pada data 2014 – telah menunjukkan isi rumah Korea Selatan telah berhutang lebih dari 1,000 trilion won iaitu bersamaan AS$932 bilion (RM3.5 juta) hampir 1.6 kali ganda lebih tinggi berbanding pendapatan kasar tahunan negara. Manakala, hutang per kapita pula telah mencapai 20 juta won – angka ini cukup tinggi.

Itu adalah laporan pada 7 tahun lalu.

Kini, krisis hutang telah memaparkan lonjakan lebih 100% daripada Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK) Korea Selatan, ini antara kenaikan tertinggi di peringkat Asia.

Peningkatan dan perbezaan ketara antara kelas atasan, bersama kelas pertengahan dan kelas terendah mula terbina sejak tahun 2017 lagi. Malah kenaikan kadar faedah turut menjadikan rakyat Korea Selatan tidak memiliki sumber simpanan untuk menangani situasi kecemasan – seperti pemberhentian kerjaya secara mengejut, atau memerlukan dana kesihatan.

Berdasarkan pemerhatian, isu ini turut didorong berasaskan penyelarasan Indeks Gini iaitu ukuran ketidaksamarataan dari aspek pendapatan dan kekayaan. Indeks ini telah menjadikan Korea Selatan hampir setanding dengan kedudukan United Kingdom (UK), dan berada di paras yang lebih baik berbanding Amerika Syarikat (AS).

Apa yang lebih menyedihkan – kedudukan kekayaan itu tidak membantu paras pengangguran belia di Korea Selatan, yang semakin meningkat dan terus meluaskan jurang sosio-ekonomi negara maju tersebut.

Tidak Hanya Keluarga – Peningkatan Hutang Turut Menjejaskan Golongan Belia Korea Selatan

Pada Ogos 2021, apabila pentadbiran Korea Selatan mula mengumumkan had pinjaman baharu bagi tujuan menurunkan kadar hutang dalam kalangan golongan muda – ia dilihat sekadar meningkatkan krisis tersebut.

Erti kata mudah, sekatan pinjaman pada had tertentu telah mengalihkan perhatian segelintir individu untuk melakukan pinjaman yang tinggi daripada peminjam berisiko. Sekiranya kegagalan membayar semula amaun tersebut – situasi itu akan mengancam kedudukan ekonomi individu terlibat.

Untuk makluman, pada tahun 2014 menunjukkan sekitar 70,000 pelajar universiti dilaporkan telah meminjam dana dari pinjaman swasta dengan kadar faedah bulanan 30% atau lebih tinggi dari amaun pengajian sebenar.

Tindakan itu menjadi pilihan susulan tanggungan kos pendidikan yang tinggi perlu dipikul oleh isi rumah Korea Selatan. Ia tidak sekadar membabitkan kemasukan pelajar ke peringkat universiti namun kos pendidikan di peringkat persekolahan juga turut tinggi.

Manakala bagi kos untuk memiliki kediaman seperti apartment di Korea Selatan juga turut dilihat membebankan. Di mana penganalisis ekonomi mengatakan penduduk dewasa memerlukan sekitar 280 juta won (lebih RM980,000) untuk pemilikan tersebut – sekiranya enggan melakukan pinjaman.

Lebih parah, anggatan tersebut adalah pada data 2014 – dijangka ia terus meningkat ketika ini.

Beban Hutang Melampau – Dorong Masalah Sosial, Penyebab Utama Bunuh Diri

Bagi individu yang tidak memiliki masalah kewangan – sudah pasti akan mempertikaikan kenyataan ini. Namun tekanan melibatkan krisis hutang bukanlah suatu perkara yang kecil. Ia melibatkan tanggungjawab individu bersama keluarga mereka.

Data Korea Selatan bagi Statistik Bunuh Diri pada laporan 2012-2014 menunjukkan – anggaran penduduk negara mengakhiri hidup mereka adalah 14,000 individu setiap tahun. Angka ini adalah antara yang tertinggi sejak tahun 2003 sehingga 2013 dalam kalangan negara OECD.

Melalui pemerhatian data, tekanan kewangan menunjukkan peratusan tertinggi;

  • Usia 20-an – 28.7%
  • Usia 30-an – 42.6%
  • Usia 40-an – 51.5%
  • Usia 50-an – 52.6%
  • Usia 60 tahun dan ke atas – 37.4%

Squid Game – Mewakili Isi Rumah Di Seluruh Dunia, Yang Terkesan Dek Penindasan Sosio-Ekonomi Negara

Secara amnya, apa yang ingin dipaparkan oleh layar Squid Game – tidak hanya tertumpu kepada krisis hutang yang didepani rakyat Korea Selatan. Tetapi mewakili semua isi rumah yang terkesan disebabkan penindasan ekonomi mengikut kelas pendapatan. Ini termasuklah isi rumah di Malaysia.

Berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) – hanya 6% rakyat Malaysia sahaja yang mampu meneruskan kelangsungan kehidupan mereka bagi simpanan tempoh 6 bulan. Sementara 75% lagi tidak memiliki simpanan mencukupi untuk tempoh 1 bulan. Situasi ini lebih membimbangkan apabila paras hutang isi rumah bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah meningkat melebihi 93% pada awal tahun 2021.

Antara faktor yang mendorong peningkatan ini adalah tanggungan berhubung pinjaman kredit kad, perumahan dan kenderaan. Data menunjukkan isi rumah Malaysia tidak memiliki sebarang pilihan untuk menyelesaikan permasalahan tersebut.

Penulis menjangkakan permasalahan krisis hutang ini akan terus menghantui isi rumah pertengahan dan kelas terendah dalam jangka masa yang panjang. Tambahan pengenalan BNPL -Beli Dahulu Bayar Kemudian akan merancakkan lagi aliran kadar hutang tersebut.