Artikel

Malaysia Perlu Perkasakan Kembali Pelaburan Negara – Demi Kelangsungan Pertumbuhan Ekonomi

Malaysia kini mengatur langkah memperkasakan kembali arena pelaburan negara. Melalui 9 fokus yang digarapkan pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) ini akan membantu aliran pertumbuhan negara kembali rancak.

Menurut Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri – keunikan negara yang terdiri daripada kepelbagaian bangsa, agama dan budaya ini menjadi suatu kelebihan untuk pasaran ekonomi. Ia membezakan kredibiliti negara berbanding pesaing yang lain, iaitu pemahaman dan potensi perluasan pasaran.

Tidak hanya itu melalui penyertaan negara pada Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) – ia berupaya beri kesan pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Di mana penyertaan merangkumi 15 negara mampu membuka peluang pemasaran kepada PKS tempatan.

Lebih menarik penyertaan itu akan menjana hampir 30% dari KDNK dengan peningkatan sekitar AS$174 bilion menjelang 2030.

Selain itu, penglibatan aktif negara di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) turut akan membuka lebih 500 juta penyertaan, kerjasama pada pasaran antarabangsa.

Ini akan memperlihatkan gabungan KDNK pada paras AS$10 trilion.

Dalam memperkasakan laluan pelaburan – Malaysia juga perlu mempergiatkan usaha pada sasaran peneutralan karbon seawal tahun 2050, bagi membangunkan infrastruktur lebih lestari dengan pemacuan ekonomi.