Artikel

Kajian Dapati 21% Rakyat Malaysia Bergantung Sepenuhnya Kepada Gaji – Tidak Mampu Untuk Menyimpan Wang

Meskipun ekonomi negara dalam cubaan ke arah pemulihan – ini tidak membawa erti tahap kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia akan kembali normal dalam sekelip mata. Ia dilihat akan mengambil suatu jangka masa yang panjang.

Melalui tinjauan di bawah Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS2021) telah menunjukkan – rakyat Malaysia ketika ini berdepan lebih banyak kesukaran untuk menyimpan wang pada setiap bulan. Ini susulan kesan yang dialami – di atas ketidaktentuan ekonomi ketika era pandemik COVID-19.

Separuh rakyat Malaysia (52% responden) mampu menyimpan kurang daripada RM500 sebulan ataupun tidak dapat berbuat sebarang simpanan.

Meskipun nilai simpanan itu dilihat kecil bagi segelintir kumpulan – tetapi ia cukup bermakna pada tinjauan. Ini kerana kadar simpanan tersebut telah mengalami peningkatan, berbanding tahun 2020 di paras 49% responden berupaya melakukan simpanan sedemikian.

Manakala 21% lagi pula menyatakan kebergantungan sepenuhnya mereka ke atas gaji. Ini bermakna kumpulan ini tidak berkemampuan untuk melakukan simpanan, susulan tanggungjawab yang dimiliki.

Seterusnya, tinjauan juga dapati – rakyat Malaysia mula prihatin terhadap keperluan ‘dana kecemasan’, di mana 63% daripada responden memilih faktor ini bagi tujuan simpanan. Diikuti simpanan berbentuk pencen (49%), melancong (40%) dan pembelian harta dan rumah (38%).

Selain itu, antara hasil kajian lain yang ditemui;

  • Ramai rakyat Malaysia sedar, simpanan KWSP tidak mencukupi untuk persaraan mereka (15%)
  • 45% masih tidak merancang simpanan persaraan mereka
  • 49% rakyat Malaysia menyatakan hasrat dan tertarik untuk sertai pelaburan kriptowang
  • Rakyat Malaysia semakin kurang menyimpan – kesan COVID-19
  • Hanya 15% responden menyimpan RM1,500 setiap bulan
  • 50% responden memaklumkan, tidak akan bertahan lebih dari 3 bulan – sekiranya kehilangan pekerjaan
  • 44% membelanjakan seluruh gaji atau lebih dari gaji bulanan mereka
  • 21% telah mengambil atau merancang perolehan moratorium pinjaman, 2x lebih tinggi daripada anggaran industri
  • 45% tidak memiliki kad kredit
  • 45% memiliki 1 hingga 3 kad kredit dan 10% memiliki lebih dari 4 kad kredit
  • Penggunaan dompet digital di Malaysia kini diparas 89%
  • 65% masih memilih pembelian insurans melalui ejen
  • Belia dan milenial berusia 18 tahun – 35 tahun; 24% tidak memiliki wang yang mencukupi untuk bertahan lebih 1 bulan, 57% tidak memiliki wang untuk bertahan 3 bulan dan 45% membelanjakan seluruh gaji atau lebih daripada gaji bulanan mereka
  • 63% belia ingin melabur dalam kriptowang

Melalui pemerhatian ini, walaupun rakyat Malaysia mula memahami kepentingan pengurusan kewangan – namun pemahaman berhubung skor kredit masih lagi rendah. Di mana, 24% memahani penilaian tahap kewangan itu, sementara 32% lagi sekadar mengetahui asas tidak secara terperinci dan 28% lagi tidak mengetahui apa itu skor kredit.

Oleh itu, pendedahan berhubung perkara ini wajar diperluaskan. Adanya pemahaman awal dalam status kewangan akan membantu orang awam, mengatur langkah pengurusan seterusnya.

Untuk makluman, kajian ini mendapat 3,033 respon dari seluruh negara dan kaedah sampel berstrata telah dilakukan untuk mencapai 1,518 respon sampel yang mewakili populasi negara Malaysia.