Di kala rakyat negara di Malaysia boleh menarik nafas lega, berikutan kebenaran rentas negeri yang diperolehi – namun tidak bagi rakyat negara yang berada di Singapura. Ini kerana, laluan sempadan kedua negara masih lagi tidak dibuka.
Isu ini telahpun wujud sejak April lalu, di mana kedua-dua negara telah menyatakan hasrat untuk membentangkan agenda kebenaran rentas sempadan. Bagaimanapun aturan itu sering mengalami penangguhan susulan peningkatan penularan kes COVID-19.
Kini, pihak Singapura meminta ruang masa kepada Malaysia untuk mengurangkan kadar jangkitan COVID-19 di negara mereka. Kerajaan negeri Johor pada masa yang sama, mengharapkan pertimbangan SOP dapat dilakukan oleh Singapura.
Ini kerana usul SOP yang dikemukakan pihak kerajaan negeri, telah memiliki persetujuan Kerajaan Persekutuan Malaysia. Adanya budi bicara Singapura, perbincangan pembukaan sempadan ini diharap dapat dilakukan dalam masa terdekat.