Artikel

ERL Sasar Capai 60% Transaksi Nirtunai Seawal 2022 – Melalui Penampilan Aplikasi KLIA Ekspres Baharu, EkspreSmiles

Perkembangan kewangan negara dilihat seiring dengan penerapan digitalisasi dan norma baharu – iaitu lebih mudah diakses secara nirtunai (tanpa tunai). Maka, untuk memacukan inisiatif tersebut – Express Rail Link (ERL) kini menampilkan muka baharu aplikasi KLIA Ekspres, bersama program kesetiaan – EkspreSmiles.

Menurut Ketua Pegawai eksekutif ERL Noormah Mohd Noor – sasaran awal entiti adalah untuk mencapai 60% transaksi nirtunai pada tahun 2020 – namun susulan pandemik COVID-19, pemerkasaan tersebut telah tertangguh dan memperlahan proses pencapaian.

Bagaimanapun sasaran ini kekal diteruskan, untuk dicapai seawal tahun 2022 kelak – melalui pembaharuan aplikasi. Setakat ini, penggunaan nirtunai ERL telah berada di paras 55% – ia meningkat 16% dalam tempoh 4 tahun.

Menerusi aplikasi KLIA Ekspres baharu, para pengguna berpeluang menikmati kadar tambang yang lebih rendah dan dapat menebus pulangan pada mata ganjaran di EkspreSmiles.

Faedah ini secara terus memberi penawaran yang baik kepada pengguna untuk memiliki diskaun bagi pembeli tiket seterusnya.

Untuk makluman, tempoh kempen ini akan berlangsung mulai 12 Oktober sehingga 15 Disember. Sementara peraduan bagi perjalanan tanpa had bersama ERL pula akan bermula pada 18 Oktober sehingga 28 November kelak.

Bagi maklumat lanjut, semua pengguna boleh layari pautan KLIA Ekspres untuk perincian seterusnya.