Artikel

Lebih 21,000 Ibu Tunggal Di Malaysia – Miliki Pendapatan Di Bawah Garis Kemiskinan

Isu penyelarasan upah dan gaji, ialah isu yang sering didebatkan oleh semua pihak. Tanpa mengira tahap pekerjaan mahupun skop tugasan. Dilema ini turut menghimpit golongan ibu tunggal di Malaysia.

Pada tinjauan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), bermula 29 Jun sehingga 5 Julai – sekitar 92% daripada 23,634 responden ibu tunggal mengakui, memiliki perolehan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu di paras RM2,208.

Ia bermakna lebih 21,700 ibu tunggal sedang berdepan kesukaran untuk memenuhi komitmen mereka, berasaskan kos setempat, sara hidup dan keperluan barangan mengikut bilangan anak. Dapatan ini tidak mengambilkira risiko yang perlu didepani mereka, ketika tempoh sekatan PKP dilaksanakan sebelum ini. Sudah pasti penurunan pendapatan jauh lebih rendah, berbanding paras PGK.

Selain itu, melalui data juga menunjukkan 43% ibu tunggal memaklumkan, kesan pandemik telah mengakibatkan mereka kehilangan pekerjaan. Ini bermakna hampir separuh dari responden telah mula kehilangan punca pendapatan isi rumah.

Maka untuk membantu kumpulan ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah memperincikan pelbagai aturan kerjasama pekerjaan yang dibina. Ini antara inisiatifnya;

  • Usahasama MEDAC menerapkan ; pembiayaan TEKUN, keusahawanan francais PNS & program INSKEN Bumiputera Business Coaching
  • Kerjasama TalentCorp dan PERKESO ; Karnival Kerjaya dan Usahawan Wanita, Program Kembali Bekerja dan Bermula Bekerja
  • Sedia Bantuan MyKasih Kapital

Berdasarkan usaha ini, penulis melihat ia suatu kerjasama yang baik. Bagaimanapun, penawaran kemahiran, wajar didatangi dengan perluasan skop peluang pekerjaan yang tetap dan jauh lebih tinggi kepada ibu tunggal. Atau lebih tepat menetapkan kapasiti pekerjaan kepada mereka dengan teratur.

Langkah ini, tidak sekadar memberi harapan kepada ibu tunggal untuk meneroka peluang baharu tetap turut menjamin kedudukan mereka pada ekosistem pekerjaan negara.