Artikel

KTMB Bakal Menambah Khidmat ETS, KTM Intercity – Untuk Penuhi Perjalanan Rentas Negeri Mulai 14 Oktober Ini

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kini memaklumkan pihaknya bakal menambah jumlah perkhidmatan ETS dan KTM Intercity untuk menampung permintaan perjalanan rentas negeri ketika ini.

Penambahan khidmat ini akan mula dilakukan mulai 14 Oktober kelak.

KTMB memaklumkan jualan tiket pada permintaan tersebut akan mula dilakukan pada jam 3 petang ini sehingga bulan Dismeber 2021.

Untuk makluman, penambahan khidmat ini akan memperlihatkan 12 perkhidmatan setiap hari berlangsung bagi ETS berbanding 2 perkhidmatan ketika ini. Ia akan melibatkan laluan, Gemas-Padang Besar, KL Sentral-Ipoh, Gemas-Butterworth dan sebaliknya.

Pada masa yang sama KTMB kini turut menawarkan diskaun RM5 untuk 10,000 penumpang terawal pada pembelian tiket berharga RM40 ke atas dengan penggunaan kod BOLEHRENTAS. Untuk makluman, tawaran ini hanya akan tersedia bermula 14 Oktober sehingga 24 Oktober kelak.

Sementara KTM Intercity pula akan beroperasi dengan 16 perkhidmatan tren pada kelangsungan 14 Oktober ini.

Bagi para pengguna terlibat diingatkan untuk hadir 1 jam lebih awal sebelum perjalanan dimulakan. Malah sudah pasti kriteria memiliki vaksinasi lengkap adalah wajib bagi setiap pengguna. Sebarang tindakan lanjut boleh ditinjau pada aplikasi KTMB Mobile atau laman portal KTMB.