Artikel

Peruntukan KWC-19 Tidak Mencukupi, Memerlukan Peningkatan Had Statutori Hutang Kepada 65% – MoF

Peruntukan dana berjumlah RM65 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19) ini – ternyata tidak mencukupi, setakat September sekitar RM60 bilion telah dibelanjakan sementara baki siling pula kini berjumlah RM5 bilion.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF) dana tersebut tidak memadai untuk pembiayaan pada 4 pakej rangsangan ekonomi negara yang ketika ini memerlukan dana tambahan sekitar RM27 bilion serta pelaksanaan RMK-12.

Maka, berdasarkan situasi ini adalah wajar untuk Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021 (Akta 830) dipinda untuk menampung peningkatan had siling KWC-19 kepada RM110 bilion ringgit, dengan peningkatan RM45 bilion.

Ia melibatkan peningkatan had statutori hutang semasa daripada 60% kepada 65% KDNK Malaysia. Tindakan ini bertepatan dengan keperluan tambahan pada ekonomi dan had statutori hutang bagi 2021 dan 2022.

Untuk makluman, kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) KWC-19 ini telah diluluskan pada September 2020 dengan bernilai RM45 bilion dan seterusnya dipinda had siling kepada RM65 bilion pada Disember 2020.

Kegagalan meluluskan RUU ini, menurut Tengku Zafrul Menteri MoF akan memberi kesan kepada agihan bantuan rakyat dan menidakkan faedah yang setimpal untuk pembangunan ekonomi Malaysia depani pemulihan.