Artikel

Thailand Rancang Kenakan Cukai AS$15 Terhadap Pelancong Luar Negara – Mulai 2022 Kelak

Thailand kini merancang untuk mengenakan cukai sekitar AS$15 (500 baht) kepada setiap kemasukan pengunjung antarabangsa, dijangka mulai pada tahun 2022.

Strategi pengenaan cukai ini adalah sebahagian daripada tindakan negara jiran, untuk memulihkan kembali industri pelancongan mereka. Namun langkah itu juga, dilihat akan mempengaruhi keputusan pelancong asing untuk tiba di Thailand.

Menurut Presiden Persatuan Hotel Thailand, Marisa Sukosol Nunbhakdi pada laporan Nikkei Asia – kadar cukai itu lebih tinggi dari apa yang dijangkakan, di mana hampir bersamaan dengan kadar tempahan penginapan hotel di Thailand. Untuk makluman para pelancong boleh menempah penginapan hotel dengan harga serendah 1,000 baht.

Berdasarkan pelaksanaan, peringkat awal pengenaan kadar cukai ini adalah di paras 300 baht, namun mengalami kenaikan 200 baht di peringkat pentabiran ekonomi. Akan tetapi kelulusan itu perlu mencapai persetujuan kabinet Thailand sebelum di bawa kepada perhatian para pelancong luar negara.

Untuk makluman pada laporan Bank Dunia tahun 2019, sekitar 39.9 juta pelancong telah berbelanja sejumlah 1.91 trilion baht (AS$458 bilion) kepada Thailand.

Melalui pengenalan cadangan cukai ini,  ia secara langsung akan mengubah Thailand Рtidak lagi menjadi destinasi pada nilai yang rendah, tetapi beralih kepada tahap pelancongan yang bertaraf lebih tinggi dan mewah.

Chairat Trirattanajaraspon – Mantan Ketua Majlis Pelancongan Thailand, menyatakan mekanisme ini wajar diterapkan Thailand tatkala krisis menimpa pelancongan. Tetapi usul ini kekal ditentang beberapa pihak, beranggapan ia sekadar membebankan para pelancong luar negara.

Sekiranya benar ia dapat dilaksanakan, berkemungkinan sektor pelancongan Thailand perlu di naiktaraf dengan lebih baik, bertepatan dengan perancangan pengenaan cukai tersebut.